PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming - Bab Pilihan - Bab 23

DUA PULUH TIGA

"Nurul tu, diakah pengurus yang selalu kamu cerita?" tanya Pn. Nazrina kepada anak lelakinya itu setelah mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah mereka.

"Bukan saya tapi Nazrin," balasnya sambil berlalu ke peti ais dan meneguk sedikit air mineral.

"Oh ya, Nazrin," mamanya mengangguk. Dia lupa. Nazrul memang jarang bercerita tentang hal peribadinya kepada sesiapa walaupun pada mamanya sendiri tetapi berlainan pula dengan Nazrin yang suka bercerita dengannya.

"Malam ni nak makan apa?" tanyanya lagi sambil menjenguk ke dalam peti ais. Baru semalam dia memenuhkan barang-barang dalam peti ais yang telah kosong sebelum ini. Entah macam-mana anak bujangnya boleh duduk di rumah tetapi tiada langsung makanan di dalam peti ais. Kalaulah dia tiada di rumahnya itu selama sebulan, agaknya sebulanlah dapur di rumahnya tidak berasap. Silap hari bulan selama sebulan jugalah anak bujangnya itu tidak jejak ke dapur.

"Nazrul?" tanyanya lagi apabila Nazrul langsung tidak menjawab soalannya tadi. Selalunya kalau bab makan memang Nazrul nombor satu. Lagi-lagi kalau orang memperlawanya makan ayam golek. Seekor ayam golek Nazrul boleh habiskan seorang diri. Dia sebagai ibu pun tidak tahu apa yang membuatkan anaknya itu minat sangat dengan ayam golek. Menurut Nazrin, Nazrul memang suka dengan bau rempah ayam golek tapi bila dia buat ayam yang berempah, selera makan Nazrul tidaklah sehebat dia menjumpai ayam golek.

"Nazrul?!" hampir jatuh jantungnya apabila dia melihat anak lelakinya itu jatuh terduduk di lantai marmar tidak jauh darinya. Segera dia menerpa ke arah Nazrul yang tiba-tiba sahaja jatuh tidak sedarkan diri.
Puan Nazrina sedikit kebuntuan. Nazrul tidak pernah tiba-tiba pengsan begitu. Bertindak pantas, dia segera berlari mengambil telefonnya dan menelefon doktor peribadi yang telah merawat Nazrul sekian lama. Nasib baiklah panggilannya terus di sambut memandangkan Doktor Ramli selalunya sibuk dengan tugas hariannya di hospital. Selepas Doktor Ramli memberitahunya bahawa dia akan terus tergegas ke sana, Puan Nazrina terus mendapatkan Nazrul yang sudah tidak sedarkan diri. Puan Nazrina turut menghubungi Rezza yang tinggal bersebelahan.

"Sabar sayang, doktor akan sampai sekejap lagi," dia memeluk anak lelakinya itu bagaikan tidak mahu berpisah dengannya. Tidak pernah dia melihat anaknya tiba-tiba jatuh pengsan setelah sekian lama. Tidak mungkin penyakit anaknya kembali lagi kerana setiap tiga bulan dia akan membawa Nazrul untuk membuat pemeriksaan dan laporan kesihatan yang dikeluarkan jelas sekali menunjukkan Nazrul sudah sihat seperti orang biasa. Tiada lagi menderita sakit.

"Auntie," Rezza muncul di dapurnya dan terkejut apabila melihat Nazrul sudah tidak sedarkan diri. "Kenapa dengan Nazrul?" tanya Rezza juga terkejut dengan panggilan Puan Nazrina tadi menyuruhnya datang ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai, dia sudah melihat Nazrul terbaring di dapur dan Puan Nazrina memeluknya.

"Auntie pun tak tahu, balik tadi dia okey saja tapi dia tiba-tiba Nazrul terbaring di sini," mata Puan Nazrina sudah berair. Ibu mana yang tidak menangis bila melihat satu-satunya anak lelakinya tidak sedarkan diri biarpun sudah banyak kali dia memanggil nama anaknya itu.

"Dah call doctor?" tanya Rezza setelah memeriksa nafas Nazrul. Masih bernafas lagi. Tapi Nazrul tidak pernah pengsan tiba-tiba. Dan selama ini juga Nazrul tidak pernah mengadu sakit. Ini yang membuatkan dia rasa tidak sedap hati. Adakah penyakit lama Nazrul kembali semula?

"Doktor Ramli dalam perjalanan ke sini," beritahunya dan berharap sangat Doktor Ramli datang dengan secepat mungkin. "Nazrul selalu begini ke masa auntie tak ada? Dia ada mengadu sakit ke?"

Rezza hanya menggeleng. Dia sendiri tidak tahu. Tapi selama ini Nazrul tidak pernah menunjukkan dia sakit. Selalunya kalau Nazrul letih, kawannya itu akan tidur tapi tidak tahulah kalau di belakangnya.

Puan Nazrina memimpin tangan anaknya sehingga ke katil. Syukurlah Nazrul sudah sedarkan diri sebaik sahaja Doktor Ramli sampai itupun Rezza bertindak bijak merenjis air ke muka Nazrul. Rupa-rupanya anaknya itu tertidur dan bukannya di serang sakit jantung seperti yang difikirnya walaupun dia mendengar Nazrul mengerang kesakitan.

"Anak puan sihat dari segi mental dan fizikal. Jantungnya juga sihat. Mungkin tadi, dia terlampau letih dengan aktiviti harian sebab itulah tumbang di situ juga," terang Doktor Ramli setelah selesai merawat Nazrul.

"Kan saya dah kata. Saya mengantuk saja. Tak sempat nak cari bantal," ujar Nazrul mengurut tengkuknya yang terasa letih.

"Tapi kamu dah menakutkan mama juga," ujar mamanya sayu. "Cukuplah mama papa kamu, mama tak mahu kehilangan kamu lagi."

Dia mendakap mamanya dengan erat. Cuba menenangkan mamanya yang dari tadi tidak dapat menahan emosinya. Mana tidaknya, dia adalah satu-satunya harta berharga yang ditinggalkan oleh arwah papanya. Harta yang tiada nilainya dan tiada gantinya.

"I’m sorry," ucapnya kepada mamanya sebaik sahaja dia duduk di katil biliknya. "Saya janji takkan buat lagi." Puan Nazrina mengukirkan senyuman manis dan memberi kucupan hangat di dahinya sebelum meninggalkan dia dengan Rezza berduaan.

"Jangan pandang aku macam tu," ujar Nazrul yang tidak suka dengan pandangan Rezza yang seakan marah terhadap dirinya. "Okey, aku tahu, aku salah. Aku tak patut landing depan mama aku macam aku ni nak mati di situ. Tapi aku dah tak tahan nak tidur."

"Beberapa hari ni, berapa kali kau tidur?" tanya Rezza. "Aku tak perasan kau tidur dalam kelas langsung."

"Aku banyak luangkan masa dengan mama sejak beberapa hari ni," ujarnya. "Kau pun tahukan, mama jarang ada kat rumah ni dan aku ‘jarang’ dapat berjumpa dengan mama jadi, sebab tulah aku tahan diri dari tidur sekejap. Aku ingat benda ni tak ada apa-apa dan tak sangka boleh jadi macam ni."

"Kau hampir gugurkan jantung aku juga," ujar Rezza.

"Sorry beb. Landing tak bertempat," dia tersengih.

"Esok aku beritahu diorang semua pasal kau ambil cuti sakit. Jadi, kau berehatlah sebab kalau kau datang untuk latihan pun ada seseorang yang akan ganggu tidur kau."

"Nurul," dia tersengih. "Tapi peliklah, sejak beberapa hari ni dia tak kacau aku tidur pun. Kau tahu kenapa?" tanya Nazrul. Sememangnya dia pelik dengan Nurul yang tidak pernah mengacaunya tidur sejak akhir-akhir ini. Selalunya apabila dia hendak lelapkan mata, pasti Nurul akan datang mengacaunya sehingga dia tidak boleh tidur dan memulakan peperangan dengan Nurul.

"Kau nak tahu jawapannya?"

Dia mengangguk.

"Better kau beritahu dia hal yang sebenarnya."

"Hal apa?"

"Nazrin."

"Oh, kau nak aku beritahu dia yang orang yang selamatkannya dulu dah meninggal dunia dan kemudian wujud dalam diri aku sebagai personaliti kedua aku?" dia menggeleng sambil tertawa kecil.

"Kenapa? Kau takut? Kau takut reaksi Nurul yang akan menganggap kau manusia yang aneh?" teka Rezza.

"Aku tak takut tapi yang takut adalah Nazrin. Memang kalau boleh aku nak beritahu dia hal yang sebenar tapi aku tak suka masuk campur hal Nazrin. Ini masalah dia, biar dia yang selesaikan sendiri."

"Walaupun kau rasa kau nak beritahu dia?"

Nazrul hanya sekadar mengangguk.

"Memang Nazrin yang selamatkan Nurul tapi sekarang ni adalah hidup kau. Nazrin tahu dia tiada hak dalam hidup kau ni dan sebab tulah dia biarkan perkara ni. Sebenarnya dia berharap sangat kau yang beritahu Nurul," kata Rezza.

"Dia masih pentingkan aku seperti biasa."

"Dan kau pentingkan Nazrin. Kau tak perlu rasa bersalah, itu memang takdirnya dan dia sendiri rela tapi kau yang tak mahu lepaskan Nazrin. Kenapa?"

"Aku dah penat. Nak berehat," ujarnya setelah tidak tahan lagi dengan perbualan mereka itu.

"Jangan sampai Nurul datang menyoal kau tentang hal ni sebab dia dah ingat," kata Rezza lagi sebelum berlalu pergi. Pintu bilik ditutup rapat.

Nazrul merebahkan badannya ke atas tilam sambil kepalanya ligat berfikir. Mungkin ada benarnya cakap Rezza. Ini adalah hidupnya dan dia berhak menentukan hidupnya tapi dalam masa yang sama dia rasa Nazrin juga berhak. Kalau bukan kerana jantung Nazrin berdegup sekarang, mungkin dia sudah tiada lagi. Dia menghela nafas lemah dan akhirnya terlelap…


"Nurul hanya mengeluh lemah. Dia rasa macam hendak menjerit sahaja tapi takut pula kejutkan kedua ibu bapa dan jiran tetangganya pula. Nanti tidak pasal-pasal orang labelkan dia sebagai bakal penghuni Hospital Bahagia suatu hari nanti. Sejak pulang dari sekolah petang tadi dia tidak senang duduk. Sekejap duduk di kerusi bulat dan sekejap beralih ke katilnya. Sekejap berbaring mengadap dinding dan bangun sambil berjalan ke hulu ke hilir. Apa yang pasti hatinya tidak senang. Semuanya gara-gara peristiwa petang tadi.

"Ah, macam manalah aku boleh tercakap benda tu," dia menggaru kepalanya yang tidak gatal sehinggakan rambutnya mengerbang bagaikan orang kehilangan bantal busuk.

‘Aku tak jealouslah!’

‘Ada aku kata kau jealous ke?’ dengan muka selamba Nazrul berkata. Sampai sekarang dia masih ingat lagi muka Nazrul yang bagaikan memerlinya.

Pada masa itu, di saat dia diketawakan oleh mereka semua, dia rasa macam hendak menyorokkan sahaja wajahnya pada ketika itu. Punyalah malu tahap gaban yang lari tidak tahan hendak pergi tandas. Merah mukanya disakat oleh mereka semua sehinggakan dia tidak dapat bersuara sedikit pun.

Kalau cakap dengan Sofea gerenti ketawa terbahak-bahak kawannya itu. Mananya tidak, orang tegur lain, lain yang dijawabnya. Dia sendiri tidak faham apa yang sudah berlaku pada dirinya sejak akhir-akhir ini. Kenapa apabila dia bertemu dengan Nazrul mesti ada sahaja yang tidak kena dengan dirinya. Yang peliknya, kenapa Nazrul? Kenapa tidak dengan lelaki lain, contohnya Fiq yang paling diminatinya ataupun Hayrul yang paling menjengkelkan. Rezza pun apa kurangnya. Tapi, ini dengan Nazrul yang selama ini dia tidak pernah pedulikan kewujudannya, lelaki yang pantang ada masa terluang, pasti akan tidur sehingga tidak ingat dunia dan lelaki yang selalu membuatkan dia tidak puas hati.

"Takkanlah dah jatuh cinta?" dia membenamkan mukanya pada bantalnya itu. Cuba tenangkan diri seketika. Setelah dia rasa dia mungkin akan membunuh dirinya dengan membenamkan mukanya pada bantal busuknya itu, dia akhirnya mengangkat kepala.

Dia kemudiannya mengambil handsetnya dan mendail nombor telefon Sofea. Hanya Sofea sahaja yang boleh tolongnya sekarang.

"Yes Honey, kalau kau perlukan jawapan matematik, aku akan campak buku tu ke rumah kau," ujar suara Sofea yang kedengaran seperti baru sahaja bangun tidur. Dia kemudiannya melihat jam yang terlekat di dinding biliknya. Hampir jam 2 pagi! Dia tidak pernah tidak dapat tidur hanya kerana seorang lelaki. Oh, pembetulan. Dia tidak dapat tidur hanya kerana sepotong ayat!

"Aku perlukan kau sekarang ni," pantas Nurul berkata.

"What?"

"Aku perlukan kau sekarang ni," ulangi Nurul sekali lagi.

"Nurul, aku tak minat dengan perempuan… aku minat lelaki so…."

"Boleh tak kau jangan merepek pagi-pagi buta sekarang ni?" balas Nurul.

"Hello, cik kak, kau tu yang merepek pagi-pagi buta sampai aku nak tidur pun tak boleh. Hah, kenapa kau telefon aku pagi-pagi buta ni?" tanya Sofea kembali segar. Pelik betul dengan kawannya itu.

Selalunya Nurul tidak pernah hendak kacaunya malam-malam buta tapi kali ini lain pula. Entah hantu mana pula yang sudah rasuk kawannya itu dia pun tidak tahu.

"Aku perlukan bantuan kau," ujar Nurul lagi.

"Ya. Aku tahu, kau perlukan bantuan aku. Tapi bantuan apa? Bantuan CPR? Sorry, sijil SPM pun aku belum ada, inikan sijil CPR. Cubalah kau minta bantuan lain selain bantuan CPR."

"Boleh tak kau berhenti merepek seketika dan dengar apa yang aku nak cakap ni?" ujar Nurul lagi.

"Okey, silalah tanya apa yang kau nak tanya dan kalau aku boleh bantu aku akan bantu. Dan sebelum itu, terima kasih kerana mengunakan khidmat kuanter pertanyaan. Kuanter pertanyaan ini dibuka dari Isnin hingga Ahad dan beroperasi selama 24 jam sehari. Di persilakan. Apa masalah Cik Nurul kita sekarang ni?" tanya Sofea sedikit bengang apabila tidurnya diganggu. Kini barulah faham kenapa Nazrul selalu bengang tahap gaban apabila tidurnya sering diganggu oleh Nurul. Mungkin Nurul ditakdirkan lahir untuk mengganggu tidur semua orang.

"Dulu kau pernah cakap yang kau pernah jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki walaupun sampai sekarang aku tak tahu siapa lelaki tu. So, soalan aku, apa yang membuatkan kau fikir yang kau dah jatuh cinta dengan lelaki tu?" tanya Nurul kepada Sofea dengan pantas.

"Ok, aku suka soalan tu tapi sebelum tu…."

"Sofea!"

"Okey, tanda-tanda aku jatuh cinta dengan lelaki tu. Pertama, sukar lelapkan mata. Macam kau sekarang ni, nak tidur malam pun susah. Dan bila pejam mata saja asyik teringatkannya," kata Sofea.
Nurul terdiam. Sukar lelapkan mata. Sekarang ini dia juga dikategorikan sebagai sukar lelapkan mata. Sejak tadi dia cuba untuk lelapkan mata tapi tidak berjaya dan apabila dia pejam mata, wajah Nazrul siang tadi dia terbayang-bayang.

Okey, 1-0.

"Kedua, bila bertemu dengan si dia, jantung aku berdegup dengan kencang," kata Sofea lagi.

Nurul merasai bahagian jantungnya. Normal. Tapi bila dia berhadapan dengan Nazrul petang tadi, entah kenapa jantungnya berdegup dengan kencang. Begitu juga dengan kejadian pagi tadi, apabila dia melihat mama Nazrul yang pada mulanya di sangka teman wanitanya mencium Nazrul. Memang pada masa itu, dia hampir hendak pengsan manakala jantungnya berdegup dengan pantas. Mungkinkah dia dalam kategori itu?

Okey 2-0.

"Ketiga, Rindu. Setiap masa aku akan rindukan si dia," kata Sofea lagi.

Rindu? Tidak! Aku tak pernah rindukan Nazrul. Buat apa hendak rindukan lelaki yang suka tidur setiap masa itu. Lagipun selama ini dia langsung tidak perdulikan kewujudan Nazrul.
Okey 2-1.

"Keempat, bila aku dengar lagu-lagu jiwang, aku teringatkan si dia," ujar Sofea lagi.

Lagu jiwang? Selama beberapa hari ini dia sudah lama tidak membuka radio apatah lagi mempunyai keinginan hendak mendengar lagu-lagu jiwang. So, dia bukan dalam kategori ini.
2-2. Nurul tersenyum. Tinggal satu sahaja penentuannya.

"Kelima, Cemburu," kata Sofea lagi.

Nurul terdiam. Cemburu?

‘Aku tak jealouslah!’, serta-merta dia teringat kejadian yang memalukannya petang tadi. Dia cemburukah dengan orang di sekeliling Nazrul. Pagi tadi, semasa dia melihat dahi Nazrul dicium oleh seorang perempuan yang mengaku ibu Nazrul dan dia berasa seperti seorang yang telah remuk hatinya. Itukah cemburu? Dia cemburu dengan Nazrul?

"Oh no! 3-2!" ujar Nurul separuh menjerit seakan tidak percaya apa yang sudah terjadi pada dirinya.

"3-2? Apa yang tiga dan apa yang dua?" tanya Sofea pelik. Jarang dia melihat Nurul seperti orang yang hilang akal menonton perlawanan bola sepak. "Jangan-jangan kau dah jatuh cinta dengan bola sepak?!"

"Err… agaknya. Aku dah jatuh cinta dengan bola sepak," balas Nurul sempat cover dirinya dari disoal siasat oleh Sofea. "Okey, aku nak pergi tidur sekarang, sorry ganggu mimpi indah kau," talian terus ditutup. Nurul mencampak handsetnya ke tepi katilnya. Dia mengeluh berat sambil landing di katilnya itu. Masih lagi tidak percaya.

"Kenapa mesti Nazrul? Apa yang dia dah buat dekat aku ni? Dia mendram aku ke? Ataupun dia dah bagi sihir cinta kat aku? Ataupun dia dah bomohkan aku?"

Di bilik Sofea, Sofea hanya tersenyum menggeleng dengan gelagat Nurul yang bagaikan cacing sesat masuk ke dalam lubang. Sudah tahu jawapannya lagi ditanya.

"Cakap sajalah kau dah jatuh cinta dengan Nazrul. Kan senang, boleh aku tolong risikkan. Nak cakap itu pun susah ke?" dia kembali menarik selimutnya dan menyambung tidurnya semula.

7 comments:

  1. eyra said...
     

    Nazrul dan nazrin watak yg sama ke?

  2. Nurul Amal Nabillah said...
     

    Please cepat2 buat cerita ne...

  3. Sis fatisyah😘😘😘 said...
     

    Actlly i had read this novel...but i dont remember what i read 3 years ago....πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

  4. Sis fatisyah😘😘😘 said...
     

    Actlly i had read this novel...but i dont remember what i read 3 years ago....πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

  5. Sis fatisyah😘😘😘 said...
     

    Yup...nazrul and nazrin is the same person...thats what i remember...split personality mybe?

  6. Sis fatisyah😘😘😘 said...
     

    Yup...nazrul and nazrin is the same person...thats what i remember...split personality mybe?

  7. adik comel said...
     

    Sis novel ni still ada lagi ka.. Kalau ada saya hendak beli

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my