PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 12

12

SEMINGGU berlalu dengan sempurna. Tugas Nurul sebagai pengurus Kelab Bola Sepak berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit masalah. Tapi, dia dapat menyelesaikan dengan segera. Hubungannya dengan Fiq agak rapat memandangkan Fiq juga merupakan orang terpenting dalam kelab tersebut.

Kadangkala, dia dengan Fiq akan duduk bersama selepas sesi persekolahan dan berbincang perkara-perkara berkenaan dengan bola sepak. Banyak yang dia dapat belajar melalui Fiq. Daripada peraturan-peraturan permainan sehinggalah jenis-jenis bola sepak yang ada di dunia ini.

Kadangkala keakrabannya dengan Fiq dicemburi oleh ramai pelajar perempuan yang juga peminat kipas angin susah mati Fiq. Orangnya bukan saja kacak, malah cemerlang dari segi akademik dan sukan. Aset yang paling diminati oleh kebanyakan peminatnya adalah Fiq berasal daripada keluarga berada.

Mungkin ada sesetengah peminat yang terkejar-kejar jejaka idaman itu disebabkan statusnya dan mungkin ada juga yang tidak pandang harta benda. Ada juga yang mengaku jatuh hati dengan Fiq kerana sikap Fiq yang peramah dengan semua orang tidak kiralah lelaki atau perempuan, mak cik atau pak cik, India atau Cina, semuanya dia berkawan baik. Kalau tidak, tidak mungkin ada mak cik kantin yang berharap dapat menjadikan Fiq menantunya.

Namun, Fiq langsung tidak menunjukkan minat untuk menjadikan peminat-peminatnya sebagai kekasih hatinya. Ada juga dia bertanya soalan itu memandangkan Fiq langsung tiada kekasih sedangkan orang sepertinya boleh memiliki hati perempuan dengan hanya memetik jari saja. Tapi, soalannya pasti akan berbalas dengan soalan juga. Nurul masih ingat lagi perbualannya dengan Fiq satu ketika dahulu.

"KALAU aku minta kau jadi girlfriend aku, apa yang kau akan fikir?"

"Hah?" tanya Nurul kurang faham dengan soalan Fiq tadi.

"Kalau aku minta kau jadi girlfriend aku, apa yang kau fikir?" ulang Fiq lagi.

Nurul terdiam. Entah soalan apa pula yang ditanya oleh Fiq tadi. Pelik semacam. Apa yang aku fikir kalau dia lamar aku jadi girlfriend dia? Bahagia? tanya Nurul kepada hatinya sendiri. Ternyata hatinya juga tidak boleh menjawab soalan itu. Soalan Fiq walaupun nampak mudah, tapi entah kenapa dia amat sukar hendak menjawabnya.

Tapi, kalau Fiq tiba-tiba melamarnya jadi teman wanita lelaki itu, agak pelik juga. Sebabnya, Fiq melayannya sama seperti Fiq melayan orang lain. Langsung tidak nampak perbezaan layanan Fiq terhadapnya begitu istimewa. Ia seperti dia sedang bertepuk sebelah tangan.

"Mesti kau fikir aku sengaja nak permainkan kau. Cinta boleh jadi milik sesiapa sahaja. Tapi, persoalannya siapa yang paling layak memiliki cinta kita? Memang tak dinafikan aku ramai peminat, tapi bagi aku untuk cari seseorang yang kita betul-betul minat bukan masanya lagi."

"Oh, kau nak tumpukan perhatian pada pelajaran?" balas Nurul.

Dia sudah banyak dipengaruhi dengan drama-drama di televisyen dan cerita-cerita novel yang dibacanya selama ini. Kalau budak yang masih sekolah sepertinya ingin menjauhi daripada bercinta, hanya itu sahaja jawapan mereka dan ini adalah kenyataan.

Begitu juga dengan realiti hidupnya, kawan-kawannya yang pernah bersumpah tidak akan jatuh cinta kepada mana-mana lelaki pada usia yang muda ini dengan alasan ingin menumpukan perhatian, tapi dalam diam menyimpan hasrat untuk memiliki teman lelaki yang tidak pernah kunjung tiba. Orang Melayu memang suka berkias-kias.

"Itu alasan lapuk," jawab Fiq selamba. Dia ketawa menggeleng. Baginya ingin menumpukan perhatian dalam pelajaran adalah alasan lapuk yang tidak berguna langsung. Sekarang ini juga, ramai yang bercinta, tapi boleh menumpukan perhatian dalam pelajaran. Bercinta pada zaman persekolahan memang tidak salah, tapi seseorang itu mesti pandai menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam sesuatu hubungan.

"Habis tu?"

"Maksud aku… lelaki mempunyai masa depan mereka sendiri. Orang perempuan takkan faham apa yang lelaki sedang fikirkan. Setiap lelaki mempunyai pendapat mereka sendiri terhadap cinta. Aku tak nak jalankan sesebuah hubungan dengan fikir perkataan couple. Lelaki dengan perempuan sekarang ni bercouple hanya untuk seronok . Mereka tak fikir jauh. Aku tak suka macam tu. Aku nak sesebuah hubungan yang kekal dan sebab itulah aku tak suka jalinkan hubungan dengan sesiapa buat masa sekarang ni," terang Fiq panjang lebar.

Nurul mengangguk faham. Memang benar, pelajar yang masih sekolah pada zaman sekarang ini terlampau taksub untuk memiliki seseorang kekasih atau couple. Ada yang sanggup bergaduh dan putus kawan hanya sebab mahu pertahankan cinta monyet yang belum tentu betulnya. Bercinta masa zaman sekolah memang banyak risikonya, terutama sekali dalam pelajaran.

Pelajaran akan terganggu kalau kita terlampau mengagungkan cinta atau lebih memikirkan cinta. Selain itu, mereka mungkin tidak akan mencapai kegembiraan zaman sekolah sebenarnya. Walaupun tiada teman lelaki atau teman wanita masa sekolah, kita sebenarnya boleh mencari kegembiraan yang tidak mungkin diputar kembali sebab cinta bukanlah sesuatu yang penting dalam kehidupan ini. Ada banyak lagi yang perlu dipentingkan.

Memang ada juga pelajar yang couple sejak dari zaman sekolah berkahwin apabila sudah melangkah ke alam dewasa, tapi tidak ramai. Tidak ramai yang bernasib baik sebab nasib manusia dalam dunia ini tidak sama. Ada yang bernasib baik dan ada yang bernasib malang. Begitu juga dengan cinta.

"Tapi, bila aku bertemu dengan seseorang itu, aku dah mula berfikir masa depan." Akhirnya Fiq berkata tersenyum memandang buku nota di hadapannya.

"Siapa?"

Fiq hanya tersenyum.

"NURUL…"

Lamunan Nurul hilang sekelip mata apabila Hayrul menyapanya. Fiq yang duduk tidak jauh daripadanya direnung sejenak sebelum kembali menalakan wajah ke arah Hayrul. Nurul geram. Pantang betul dia hendak bersenang-lenang, mesti ada saja yang datang mengacau. Hayrul ini tidak lain dan tidak bukan mesti hendak bertanya tentang surat cintanya yang tidak pernah wujud di muka bumi ini.

"Hah, sebelum kau tanya apa-apa, aku nak cakap, aku tak terima surat cinta untuk kau," ujar Nurul terlebih dulu yang sudah tahu sangat perangai Hayrul kalau berjumpa dengannya.

"Macam mana boleh tak ada pulak?" tanya Hayrul hampa. Hampir sebulan dia mengharap akan dapat surat cinta daripada peminat-peminat misterinya.

"Manalah aku tahu."

"Sebab aku dengar kau dapat banyak surat cinta untuk Kelab Bola Sepak, takkan satu pun tak ada untuk aku?"

"Tak ada," tegas Nurul.

"Kenapa pulak tak ada?" tanya Hayrul tidak puas hati.

"Dah tak ada nak buat macam mana lagi. Mungkin semua orang tahu yang kau alergi dengan surat cinta sebab itulah tiada seorang pun yang berani nak bagi. Atau kau memang tiada peminat," kata Nurul dengan selamba. Memang itu perangainya yang tidak suka menjaga hati orang. Baginya menjaga hati orang begitu susah dan dia bagaikan terhukum kalau tidak bercakap sesuatu apa yang benar.

"Tolong sikit. Aku ada peminat, tapi mereka tu yang tak berani nak luahkan perasaan dia orang pada aku," ujar Hayrul dengan lagaknya.

"Yalah tu…" Malas Nurul hendak melayan Hayrul.

"Dengar cerita Nazrul dapat surat cinta juga." Fiq membuka cerita.

Serentak dengan itu Hayrul berpaling memandang Fiq di sebelahnya. Bagaikan tidak percaya apa yang didengarinya tadi.

"Emm… aku pun tak percaya, tapi memang sampul surat tu tertulis nama Nazrul." Nurul mengiakannya. Dia juga terkejut melihat nama Nazrul tertulis pada sampul surat yang diterimanya semalam. Rasanya ini kali pertama dia mendapat surat cinta untuk Nazrul. Rupanya Nazrul ada peminat walaupun lelaki itu suka tidur 24 jam.

"Macam mana Nazrul yang kaki tidur tu boleh dapat surat cinta, tapi aku tak dapat surat cinta?" tanya Hayrul tidak puas hati lagi. Setahunya, selain kaki tidur, Nazrul tidak berminat menonjolkan diri dengan orang ramai. Di kelab mereka, Nazrul tidaklah begitu menyerlah di kalangan pelajar perempuan walaupun dia juga merupakan ahli terpenting dalam Kelab Bola Sepak

"Manalah aku tahu. Kau tanyalah Nazrul tu sendiri. Aku pun pelik jugak. Orang macam dia pun ada peminat ke?" Nurul bertanya semula. Dia masih lagi tidak dapat menerima kenyataan apabila terpandang nama Nazrul pada sekeping sampul surat berwarna pink yang dijumpai di dalam laci meja tulisnya pagi tadi.

"Tak ada apa yang peliknya, Nazrul jenis yang low profile. Walaupun dia selalu tidur, tapi imejnya bersih. Mungkin sebab itulah dalam diam ada orang yang meminatinya," balas Fiq memberi pandangan. Tapi, setahunya Nazrul memang tidak suka menjadi perhatian orang terutama sekali dengan perempuan.

"Tapi, Nazrul memang tak layak terima surat cinta!" balas Nurul yang entah kenapa tidak berpuas hati sejak semalam.

"Hah, dia memang tak layak terima surat cinta! Mesti Nazrul tu pergi jumpa bomoh buat mandi bunga. Baru-baru ni aku dengar bunga-bunga kat taman pertanian sekolah kita tu habis dikebas orang. Entah-entah Nazrul yang mencuri bunga tu untuk mandi bunga," ujar Hayrul lagi.

"Canggih betul idea kau." Nurul menjeling tajam. Kalau Hayrul dah melalut macam-macam yang difikirnya. "Sekarang ni tak payah mandi bunga pun. Kau pakai minyak wangi gerenti ada perempuan yang tersangkut."

"Hah? Betul ke?" tanya Hayrul seakan tidak percaya. "Kalau macam tu, aku pergi beli minyak wangi."

"Selama ni kau tak pakai minyak wangi ke?"

"Pakai."

"Habis tu?"

"Aku pakai minyak wangi kakak aku. Pagi tadi bila aku nak pakai, dah habis."

"Patutlah tak ada perempuan yang sangkut dekat kau. Kau tahu tak, kalau kau pakai minyak wangi perempuan, ramai lelaki yang akan jatuh hati pada kau tau," sindir Nurul. Entah dari manalah idea itu datang dia sendiri tidak tahu. Tapi, pelik juga kalau lelaki pakai minyak wangi perempuan.

"Yalah tu. Pandai saja kau nak buat cerita. Apa salahnya pakai minyak wangi perempuan. Minyak wangi jugak tu!" balas Hayrul tidak mahu mengaku kalah.

REZZA melangkah masuk ke dalam bilik dan Kelab Bola Sepak mendapati Nazrul tengah tidur dengan nyenyak berbantalkan lengan. Rezza sekadar menggeleng. Dengan perlahan dia menghampiri rakannya itu. Sehelai kertas berwarna pink ditarik dari tangan Nazrul secara perlahan-lahan supaya tidak mengejutkan kawan karibnya itu.

Tersenyum Rezza ketika membaca surat cinta seseorang yang dituju khas kepada Nazrul. Tidak lama selepas itu Nazrul kelihatan mula sedar dari tidurnya. Matanya memandang redup wajah Rezza di hadapannya. Kemudian pandangannya dialih pada surat cinta di tangan Rezza.

"First time dapat surat cinta," kata Rezza perlahan.

"Tapi, semuanya tidak bermakna langsung," jawab Nazrul. Dari pandangan matanya terpancar satu emosi yang berbelah bagi.

"Tak salah kalau jatuh cinta pada seseorang."

Surat di tangan Rezza di ambil Nazrul. Direnung dalam surat di tanganya itu. Ayat-ayat indah dibacanya untuk kali entah ke berapa. Dia sendiri tidak pasti. Kemudian kertas itu direnyokkan sebelum menjadi penghuni tong sampah.

"Surat tu memang layak berada di dalam tu," ujar Nazrul lagi.

"Kau tak perlu benci surat cinta," ujar Rezza pula.

"Aku tak benci dengan surat macam tu, tapi aku takut ada seseorang yang bencikannya. Kalau tak benci pun, dia akan berasa serba salah."

"Aku rasa kalau keadaan ini berterusan…"

"Benda ni akan berakhir. Aku janji!" Pintas Nazrul kemudian tersenyum pahit.

NURUL memeriksa jadual latihan sebelum mencatatkannya ke dalam diari hariannya. Sejak kejadian terlupa aktiviti-aktiviti Kelab Bola Sepak dulu, dia mengambil langkah berhati-hati membuat kerja.
Sebuah diari harian miliknya diwujudkan, itu pun atas nasihat Fiq. Fiq siap mengajaknya keluar semata-mata mahu membeli diari harian untuknya. Sejak hari itu dia tidak pernah berenggang dengan diarinya itu. Meninggalkan diari ibaratkan meninggalkan Fiq dari hatinya.

Sekali-sekala dia menjeling memandang Nazrul yang dari tadi asyik tidur dengan nyenyak. Tapi, kali ini Nazrul tidak berdengkur seperti selalu. Tahulah dia buat kalau Nazrul berdengkur dengan kuat. Akan diletaknya pembesar suara supaya satu sekolah boleh dengar dengkuran Nazrul.

Tiba-tiba telefon bimbitnya yang diberi mod senyap bergegar dari kocek bajunya. Segera dia mengambil dan direnung skrin telefon bimbitnya. Dari nombor yang tidak dikenali. Nurul pelik. Dia memandang Nazrul yang masih tidur. Yang pastinya bukan Nazrul yang telefon. Tanpa menghiraukan siapa yang menelefonnya, Nurul segera menjawab panggilan tersebut. "Helo," jawabnya lembut.

"Helo, Nurul," jawab satu suara di hujung talian.

Hampir tersentak jantung Nurul apabila mendengar suara daripada seorang lelaki yang tidak asing lagi daripada hidupnya. Dia pasti. Dia pasti sangat-sangat. Suara itu tidak akan dilupanya sampai bila-bila.

"Saya Hazwan," kata suara itu lagi memperkenalkan diri. Hazwan takut Nurul tidak dapat mengecam suaranya.

"Oh, Hazwan, saya ingatkan mamat manalah yang telefon tadi." Nurul cuba bersikap tenang. Memang itulah situasinya bila bercakap dengan Hazwan. Berbeza jika dibandingkan caranya bercakap dengan lelaki lain. Secara automatik terus menjadi sopan dan bertatabahasa.

"Nurul, maaflah sebab mengganggu."

"Err… tak ada apa. Awak tak mengganggu saya, tapi macam mana awak dapat nombor telefon saya?" Serta-merta Nurul teringatkan peristiwa Nazrul yang mendapat nombor telefon bimbitnya dari surat cintanya yang ingin diberi kepada Fiq, tapi diperdajalkan Nazrul yang meletaknya di dalam lokar Hayrul. Mungkinkah Hazwan turut membaca surat cintanya itu dan sebab itulah Hazwan mendapat nombor telefonnya?

"Daripada seseorang yang baik hati," jawab Hazwan.

Nurul mengeluh lega. Mujurlah sangkaannya meleset. Mana mungkin Hazwan mendapat nombor telefonnya dari surat cinta yang ingin diberikan kepada Fiq. Tapi, Hazwan sebut daripada seseorang yang baik hati. Ini bermakna orang yang beri nombor telefonnya adalah seseorang yang baik hati. Oh, ini bukan baik hati, tapi ini busuk hati. Sesedap rasa saja nak bagi nombor telefon aku pada orang yang tidak dikenali. Orang macam tu memang patut dibom! Apa yang aku merepek ni? desis hatinya.

"Siapa?"

"Saya rasa lebih baik kita jangan cerita pasal tu. Saya yang paksa dia beri nombor telefon awak. Sejak kita berjumpa tempoh hari, saya asyik teringatkan awak."

Okey, Hazwan ni dah angau ke? Teringatkan aku? Habis Diana tu dia dah campak mana?

"Tapi, kenapa?" tanya Nurul.

"Boleh tak kalau kita berjumpa?"

"Jumpa?"

"Sekarang. Saya ada di hadapan pintu pagar sekolah awak."

"Hah!"

"Please…" rayu Hazwan.

Nurul seakan tidak boleh lari dari pelawaan Hazwan. Bagaikan dikawal, terus dia bersetuju untuk bertemu dengan Hazwan. Entah apa yang Hazwan mahu sehingga sanggup mendapatkan nombor telefonnya dan menemuinya.

Selepas panggilan ditamatkan, segera Nurul menyiapkan sisa-sisa jadual yang belum dicatit lagi ke dalam diarinya. Setelah siap, dia mula mengemas barang-barangnya sebelum berlalu keluar dari bilik tersebut.

Selepas pintu bilik ditutup rapat, Nazrul yang sedang tidur tadi membuka kelopak matanya dengan perlahan-lahan. Pandangannya redup. Sayu.

"ADA apa awak tiba-tiba cari saya?" tanya Nurul kepada Hazwan setelah mereka berdua bersetuju untuk berbual di sebuah kedai makan yang berdekatan dengan sekolah.

"Saya memang nak cari awak selama ni, tapi saya hilang sumber. Semua tak tahu awak pindah ke mana dan tak sangka pula saya jumpa awak di sekolah tempoh hari," terang Hazwan dengan tenang.

"Saya dapat tahu awak bersekolah di sini sebab lelaki yang bersama awak tu memang saya kenal."

"Maksud awak Fiq?"

Hazwan hanya mengangguk.

"Tapi, bukan dia yang bagi nombor telefon awak. Lagipun saya hanya kenal dia pada nama, sebab dia merupakan anak kepada kawan ayah saya. Tak tahulah kalau dia kenal saya atau tak."

"Oh… Tapi, sebab apa awak nak jumpa saya?"

"Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku selama ni. Apa yang Diana dah buat pada awak. Saya minta maaf. Saya tak tahu macam mana surat cinta yang awak bagi tu boleh jatuh ke tangan Diana. Sumpah saya cakap, mana-mana surat cinta yang saya terima, saya simpan dengan cermat sebab saya takut jadi macam tu. Tapi entah bagaimana surat cinta awak boleh berada di tangan Diana," terang Hazwan.

Serta-merta Nurul terbayang peristiwa hitam yang memalukan dirinya apabila surat cinta yang diberikannya kepada Hazwan dulu jatuh ke tangan Diana dan kesempatan ini dibuat oleh Diana dengan menampal surat cintanya itu di setiap papan kenyataan sehinggakan dia dikenakan hukuman tatatertib kerana dituduh menampal benda yang tidak berfaedah, padahal bukan dia yang menampalnya.
Dia malu dan pada masa yang sama dia sakit hati dengan Diana. Dia tahu, Diana menyukai Hazwan, tapi dia tidak pernah mengacau Diana dan Diana juga tiada hak menghalang perasaannya terhadap Hazwan. Tapi, apa yang Diana buat terhadapnya membuatkan dirinya memberontak sehingga kini.

Dahulu, dia yang ramai kawan terus menyembunyikan diri daripada berkawan dengan orang lain. Dia yang dahulunya seorang yang berhati lembut, terus bertukar menjadi orang yang keras hati. Lagipun orang yang berhati lembut ini memang selalu dibuli. Sebab itulah terbentuk perwatakannya yang keras kepala. Dengan ini saja orang lain akan gerun memandangnya dan sekali gus menjauhkan diri daripadanya.

"Saya dah lupakan tentang tu. Lagipun memang patut pun dia marah sebab kacau hak dia," balas Nurul, tapi dalam hatinya hendak saja dia kata, Saya rasa kalau saya jumpa dia, memang saya tampar dia seratus kali tanpa henti!

"Saya bukan hak dia." Hazwan tersenyum.

Sungguh kacak! Benar! bisik Nurul sendiri.

"Diana memang macam tu. Dia fikir dia boleh memiliki semua apa yang dia mahu, tapi dia silap. Dalam soal cinta, dia kalah. Actually, kami tak pernah ada apa-apa hubungan dan dengan kata lain saya bukan boyfriend Diana. Tapi, demi menjaga hati Diana yang sedikit terperasan, saya terpaksa mendiamkan diri. Diana tahu pasal ni cuma dia masih tak dapat terima kenyataan.

"Selepas kejadian surat cinta tu, saya dah tak boleh tahan lagi. Kalau dia sanggup buat begitu itu maknanya dia semakin hampir ingin mengawal hidup saya dan saya tak mahu dia kawal saya. Cukuplah peluang yang saya berinya selama ini. Kalau saya biarkan dia buat sesuka hati, mungkin hidup saya akan jadi lebih kucar-kacir," ujar Hazwan meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini.

"Jadi, sekarang ni dia macam mana?"

"Diana malu sangat sebab saya tengking dia depan orang ramai. Saya tahu saya tak patut tengking dia depan orang ramai dan memalukan dia, tapi selama ini bila dibawa berbincang, dia tak pernah nak dengar, malah egonya semakin tinggi dan berlagak seperti saya ini suaminya. Selepas saya tengking dia depan orang ramai, dia mula slow sikit sebab ketika itu ramai yang menyokong saya, malah kawan-kawannya juga berpaling tadah dan sejak itu dia semakin menyepikan diri dan akhirnya berpindah sekolah kerana cikgu dapat tahu dia adalah dalang melekatkan surat cinta awak. Tak tahulah dia ke sekolah mana, tapi dengar kata perangainya tetap macam dulu lagi. Kami lost contact macam tu saja." Hazwan menceritakan segala-galanya.
Nurul mengangguk faham.

"Dan saya datang ni sebab satu perkara. Dah lama saya ingin tanya awak, tapi asyik tak ada peluang saja."

Okey, dia mesti nak kata dia sukakan aku, lepas tu mesti nak minta couple dengan aku.

"Pasal apa?"

"Sebenarnya…"

Nurul menunggu dengan sabar dengan dada yang berdebar-debar.

"Saya nak tanya, kenapa dalam surat tu awak tulis lirik Cinta Pepohan Cemara?" tanya Hazwan.

"Hah!" Nurul hilang kata-kata.

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my