PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 9

9

NURUL sekali lagi menguap malas. Mengantuk sehinggakan hendak membuka mata pun tidak terdaya. Semuanya gara-gara tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan hubungan Fiq dengan gadis yang dilihatnya semalam. Penat juga otaknya berfikir, hatinya pula bermain dengan kata-kata sehinggakan dia berasa lemah. Apatah lagi sejak pasukan bola sepak sekolah akan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Sekolah Haji Mansur.

Haji Mansur? Kemudian dia tersenyum menggeleng. Lucu. Sejak Nazrul memanggil nama sekolah itu Sekolah Haji Mansur, semua dah gelarkan Sekolah Haji Mansur. Tiada lagi SMK Semarak.

Nazrul! Hatinya memberontak. Rasa mengantuk tadi hilang begitu saja apabila nama Nazrul menjelma di fikirannya. Perasaan geram dan marah membuak-buak dalam dirinya. Mana tidaknya, Nazrul hampir memalukannya dengan meletak surat cinta dalam lokar Hayrul. Nasib baiklah Hayrul alergi dengan surat cinta, kalau tidak manalah dia hendak letak mukanya itu. Pasti kecoh satu sekolah.

Kaki kanannya melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak. Pintu bilik sudah terbuka luas. Sejak dia menjadi pengurus, pintu bilik memang sentiasa akan dibuka kecuali kalau ada mesyuarat atau sewaktu latihan di padang.

Kebiasaanya pagi-pagi lagi dia akan singgah sebentar ke bilik itu untuk mengambil barang-barang sekolah yang diletakkan di situ seperti buku teks dan alatan tulis yang lain. Jadi, tidak beratlah beg sekolahnya ketika datang dan balik sekolah.

Kelihatan Farizat dan Ridzwan sedang menyiapkan kerja sekolah. Itulah rutin harian mereka yang pasti akan menyiapkan kerja latihan yang diberi oleh guru mereka pagi-pagi lagi. Itu pun copy daripada pelajar lain.

"Kenapa tu?" tanya Nurul menghampiri Ridzwan dan Farizat yang asyik menyalin jawapan Matematik.

Mereka kemudiannya berpaling memandang Hayrul yang dari tadi asyik berdoa di hadapan lokarnya.

"Doa tolak bala kut," jawab Ridzwan yang tidak mengendahkan Hayrul.

"Kesian anak si Bala tu, tak pasal-pasal kena tolak," ujar Nurul sambil menggeleng-geleng kepala. Sengaja dia meninggikan suaranya tadi, namun tiada sebarang reaksi daripada Hayrul.

Hayrul masih lagi berkumat-kamit membaca sesuatu sambil menadah tangan.

"Wei, aku dengar kau kena keluar dengan Nazrul untuk bincang pasal strategi tu." Farizat mula bertanya.

"Mana ada keluar. Cuma bincang saja."

"Semalam kita orang pergi rumah Rezza, Nazrul cakap dia nak pergi Sekolah Haji Harun tu petang ni. Kau pun kena ikut sekali," beritahu Farizat.

"Hah! Kenapa aku tak tahu pun?"

"Sebab… Nazrul. Tiada siapa dapat agak apa yang dia akan buat selepas ni. Jadi, bersedialah apa-apa yang akan berlaku petang nanti."

"Dia tu memang macam tu. Kalau pasal bola sepak, langsung tak peduli dengan orang sekeliling."

Sementara itu, Hayrul di hadapan pintu lokar yang tertutup rapat sedang mengaminkan doa. Kedua-dua tapak tangannya menyentuh muka. Dengan penuh kesabaran, pintu lokarnya dibuka secara perlahan-lahan.

Matanya terbeliak. Tidak percaya! Terus dia mencari di ruang-ruang di dalam lokarnya itu. Tiada! Di cari di dalam laci. Tiada juga! Argh!!! Dia terus menapak menghampiri mereka bertiga.

"Nurul, mana surat cinta aku?" tanyanya.

"Hah!"

"Surat cinta aku mana, pekak!"

Mata Nurul terkebil-kebil dengan sapaan Hayrul yang inginkan surat cinta. Entah apa pula yang tidak kena dengan Hayrul ini. Kalau dulu masa terima surat cinta, terus pengsan. Tapi sekarang, terkejar-kejar surat cinta.

"Manalah aku tahu." Acuh tak acuh Nurul menjawabnya. Mampus kalau Hayrul dapat tahu hal yang sebenarnya.

"Bukan ke kau yang ambil surat cinta tu?"

"Memanglah aku yang ambil, tapi aku dah buang. Yang kau macam cacing kepanasan cari surat cinta ni kenapa?"

"Aku tak kira, aku nak surat cinta tu jugak!"

"Kejap lagi aku tuliskan surat cinta untuk kau dan kau bacalah ya." Nurul tersenyum menyindir. Tak faham bahasa betullah mamat sekor ni!

"Hah, kalau macam tu mesti kau tahu siapa yang tulis surat cinta untuk aku, kan? Mesti kau ada bacakan? Jadi, aku nak kau suruh minah tu tulis balik surat cinta tu. Aku nak surat tu ada kat dalam lokar aku selepas perlawanan!" kata Hayrul sebelum mencapai beg sekolahnya dan berlalu pergi.

Mereka bertiga masing-masing berpandangan. Kemudian ketiga-tiganya ketawa. Ada ke patut suruh orang tulis balik surat cinta? Manusia macam itu pun wujud ke?


"Petang ni, pukul 2.00 petang, tunggu aku kat bus stop depan sekolah." Nazrul tiba-tiba mencelah apabila Nurul dia sedang berbual dengan Sofea dan kawan-kawannya yang lain di kantin sekolah.

Belum sempat Nurul berkata apa-apa, Nazrul telah pun mengangkat kaki berlalu pergi membuatkan dia terpinga-pinga.

"Dating?" tanya Sofea.

"Hah? Takkanlah…" jawab Nurul selamba.

"Tapi cara dia ajak kau macam nak pergi dating saja," celah Noni yang bertocang dua. Entah kenapa tiba-tiba dia mahu berehat bersama-sama dengan Nurul dan Sofea pada hari ini.

"Dating apanya. Aku kena fikirkan strategi untuk perlawanan esok. Cikgu Majid yang suruh."

"Tapi, takkanlah nak berbincang kat taman bunga, kan… Kat sekolah kita pun ada tempat untuk berbincang."

"Taman bunga apa! Mulalah nak buat spekulasi yang tak berasas. Nazrul tak cakap pun nak jumpa aku di taman bunga. Mungkin kita orang akan pergi ke Sekolah Haji Harun."

"Hah! Sekolah mana tu?"

"Entah. Aku pun tak tahu sekolah apa, tapi yang aku tahu pengetua sekolah tu bernama Haji Harun. Kenapa aku rasa macam kenal saja nama pengetua tu?"


Tepat jam 2.00 petang Nurul sudah tercegat di bus stop depan sekolah seperti yang dipinta Nazrul semasa waktu rehat tadi. Sekali-sekala dia merenung jam di tangannya. Namun, kelibat Nazrul langsung tidak kelihatan lagi.

Janji jam 2.00 petang, tapi sekarang sudah lebih lima minit. Walaupun lima minit, tapi ia berharga. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur dengan nyenyak gara-gara asyik memikirkan hubungan Fiq dengan gadis misteri yang setia menunggu di pintu pagar sekolah semalam. Kalau itu teman wanita Fiq…

"Hoi, mak cik!"

Tersentap jantung Nurul dengan sapaan Nazrul yang entah bila berdiri di sebelahnya.

"Hidup lagi rupanya, aku ingat dah mati," ujar Nazrul selamba.

Nurul memandang tajam ke arah Nazrul di hadapannya. Ini macam hendak suruh dia mulakan perang dunia ketiga saja. Sudahlah dia bengang sangat semalam apabila dapat tahu Nazrul adalah dalang segala dalang dengan meletakkan surat cinta dalam lokar Hayrul. Tak pasal-pasal Hayrul pengsan satu hari dan esoknya angau mencari surat cinta.

Awal pagi lagi Hayrul sudah mencarinya untuk menuntut surat cinta yang diterima.

Bukan itu saja, masa rehat tadi pun Hayrul ada menemuinya dan bertanyakan surat cinta sehinggakan dia sudah tidak tahan dengan perangai Hayrul yang semakin hari semakin tak normal.

"Kau ingat aku ni pengeluar terbesar surat cinta ke? Senang-senang minta surat cinta daripada aku. Kau nak surat cinta sangat, kan? Apa kata kau tampal memo, Aku sedia terima kehadiran surat cinta daripada anda semua tidak kira lelaki atau perempuan kat papan kenyataan sebelah Carta Prince Charming tu. Kat situ memang ramai pelajar suka berkumpul." Tak faham bahasa betul Hayrul tu!

Tapi, kalau dibandingkan Hayrul dengan si Putera Katak ini, dia lebih rela melayan kerenah Hayrul. Walaupun Hayrul menjengkelkan, tapi sekurang-kurangnya Hayrul bukannya seperti Nazrul yang suka serang dari belakang. Memang betul pun orang kata, orang pendiam ni adalah orang yang paling bahaya sekali.

"Wei, kenapa kau pakai baju sekolah?" tanya Nazrul sambil melihat Nurul atas bawah seperti tidak pernah melihat Nurul berpakaian baju sekolah.

"Habis tu, aku kena pakai baju apa? Baju renang?" sindir Nurul.

"Kalau kau pakai baju renang pun aku tak ada selera langsung," jawab Nazrul selamba sambil mengatur langkah.

Patut ke aku baling fail ni kat kepala dia? Bentak Nurul sendiri.

Nurul memegang erat fail kuning yang menjadi teman setianya setelah dilantik menjadi pengurus bola sepak. Nafasnya turun naik. Entah kenapa dia geram sangat bila berhadapan dengan Nazrul. Setiap apa yang Nazrul kata mesti menyakitkan hati.

Tak ada selera langsung? Huh, lelaki kurang normal saja yang cakap macam tu. Nazrul memang kurang normal. Memang patut pun tiada seorang perempuan pun yang mengaku menyukai Nazrul, omel Nurul dalam senyap.

Tapi, memang betul ke aku ni tak ada daya tarikan langsung? Hati Nurul tertanya-tanya sendiri sambil matanya meliar memandang dirinya sendiri.

Mungkin sebab tu aku kena reject dulu.

"Hoi, mak cik, tak payahlah nak pandang-pandang badan sendiri. Memang tak menarik pun," jerit Nazrul yang sudah beberapa kaki di hadapan.

"Okey, mungkin aku patut humban dia ke dalam loji najis." Nurul mendengus marah.


"KITA nak ke mana ni?" tanya Nurul setelah otaknya penat berfikir ke mana Nazrul hendak membawanya.

Sudahlah berjalan kaki di bawah matahari yang panas terik seperti tiada arah tujuan. Lagi satu yang paling dia tidak puas hati, sampai sekarang dia tidak tahu di mana letaknya sekolah Haji Harun.

Bila ditanya pengetua Haji Harun itu pengetua sekolah mana? Jawapan Nazrul senang saja, Sekolah menengahlah, takkan sekolah rendah pulak… Sejak itu malas Nurul hendak bertanya soalan pada Nazrul lagi. Daripada dia tanya soalan pada Nazrul, lebih baik dia tanya soalan dengan pokok-pokok di sekelilingnya. Sudah semestinya tidak menyakitkan hati.

Sekali lagi Nazrul senyap walaupun dia sudah berkali-kali bertanya soalan yang sama. Bila dia mendongak memandang Nazrul di sebelahnya, betapa panasnya hatinya apabila melihat kedua-dua telinga Nazrul di sumbat oleh earphone. Patutlah sepanjang dia berjalan seiringan dengan Nazrul, dia terdengar muzik rancak. Ingatkan muzik itu datang dari kereta-kereta yang lalu-lalang.

"Huh!" Nurul mendengus marah.

Tanpa mempedulikan Nazrul yang melayan muzik yang bergendang di telinganya, Nurul membuka payung yang sentiasa dibawanya ke mana sahaja kerana tidak tahan dengan cuaca yang terlampau panas. Nanti tak pasal-pasal kulitnya hitam. Sudahlah kulitnya jenis yang suka merajuk bila berjemur di bawah cahaya matahari.

"Kenapa nak pakai payung pulak?" celah Nazrul setelah beberapa kali wajahnya tercucuk bucu payung Nurul. "Kan matahari tu baik untuk kulit."

"Lantak akulah. Kulit aku bukannya kulit kau," balas Nurul selamba.

Memang dia sudah agak, apa yang dia buat mesti ada saja yang tidak kena. Sekarang hendak pakai payung pun salah.

"Memanglah kulit kau, tapi bucu payung ni dah berapa kali tercucuk muka aku. Nasib baik muka, kalau tercucuk mata aku, buta mata aku, siapa nak jawab kat mama aku?"

"Hah, nak mengadu kat mama kau, mengadulah. Anak mama!" Nurul menjelir lidah. Puas hatinya. Dengan Nazrul memang tidak boleh diberi muka. Kalau tidak, memang sakit hati saja melayan. Macam manalah semua ahli rasmi boleh tahan dengan perangai Nazrul yang tidak normal itu. Mungkin lebih baik dia biarkan Nazrul tidur sepanjang masa. Aman dunia!

"Bak sinilah aku pegang." Payung tersebut dirampas Nazrul dari tangan Nurul. "Sudahlah pendek, pegang payung pun tak reti."

"Payung aku suka hati akulah nak pegang macam mana." Payung merah tadi dirampas Nurul kembali.

"Masalahnya, payung kau ni bahaya sangat. Sampai nak tercucuk mata aku." Nazrul merampas kembali payung di tangan Nurul. "Sepatutnya biar orang yang lagi tinggi daripada kau pegang payung ni. Kalau tak, satu-satu kawan kau akan jadi orang kurang upaya."

"Lantaklah! Yang penting, itu payung aku, lagipun tak ada undang-undang di Malaysia ini melarang orang yang pendek macam aku pegang payung."

Nurul cuba merampas dari tangan Nazrul, tapi Nazrul sudah bersedia dengan menggenggam erat batang payung daripada dirampas oleh Nurul.

"Dengar cakap aku sajalah. Biar aku pegang. Apa salahnya mengalah sekali." Nazrul sekadar menggeleng apabila Nurul masih lagi cuba menarik payung dari tangannya. Nampaknya gadis itu tetap tidak mahu mengaku kalah.

"Jangan harap!" tegas Nurul dengan nafas turun naik. Barangkali bengang dengan situasi tersebut.

Nazrul pelik betul dengan perempuan seperti Nurul, hendak tolong sikit pun meradang sampai hendak bom satu dunia lagaknya.

Nurul kemudiannya meletak fail di tempat perjalanan kaki dan tanpa membuang masa dia menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk menarik payungnya dari tangan Nazrul. Ternyata tenaga lelaki lebih kuat daripada tenaga perempuannya tapi itu tidak bermakna dia akan mengaku kalah. Apatah lagi pada lelaki yang tidak normal seperti Nazrul itu.

"Lepaskanlah!" marah Nurul.

"Mengalah sajalah," balas Nazrul pula tetap tidak mahu mengaku kalah.

"Jangan harap!" Dengan sepenuh tenaga Nurul menarik kuat batang payung.

Prak! Akhirnya Nurul dapat payung dan Nazrul pula dapat batang payung. Kedua-duanya dapat bahagian masing-masing. Dengan kata lain, payung Nurul terpatah dua.

"Kan senang, masing-masing tak payah pegang payung," jawab Nazrul selamba sambil membuang batang payung di tangannya ke tepi jalan tanpa mempedulikan perasaan Nurul yang bercampur baur itu. Dia meneruskan langkahnya.

"Mungkin aku patut cincang dagingnya lumat-lumat selepas ni." Nurul mendengus marah. Payung di tangannya dibuang ke tepi. Sakit hati saja kalau dia masih memegangnya.


NURUL mendongak memandang papan tanda di hadapannya. Dikelip-kelip matanya berkali-kali. Barangkali tersalah lihat. Kemudian, selepas tidak puas hati dia menggosok-gosok kedua-dua matanya pula untuk memastikan sesuatu. Bila dibuka matanya semula, perkataan Butik Sukan jelas terpampang di hadapan matanya. Betul matanya tak silap. Ini bukannya sekolah, tapi sebuah butik yang menjual pakaian sukan khas untuk orang perempuan.

"Err… apa yang kita buat kat sini sebenarnya?" tanya Nurul pelik. Kemudian memandang Nazrul yang masih tenang di sebelahnya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku terhadap dirinya. Benarlah kata Ridzwan, tiada siapa yang dapat agak apa yang difikirkan oleh Nazrul dan bersedia sajalah kalau ada apa-apa yang berlaku nanti.

"Tukar baju," jawab Nazrul pendek.

"Hah?"

"Tukar bajulah, pekak."

"Aku tak pekak. Aku dengar kau kata tukar baju, tapi kenapa pula nak tukar baju?" Sekali lagi darah Nurul seakan mahu menyirap naik. Marahnya tadi pun masih belum berkurangan lagi dan kini Nazrul paksa dia tukar baju.

"Takkanlah aku nak bawa kau pergi tengok perlawanan bola sepak dengan pakai baju sekolah kita. Dah tentulah orang lain dapat syak yang kita sebenarnya sedang mengintip perlawanan tu," jawab Nazrul tenang.

Nurul mengerut dahi. Patutlah dia pelik melihat Nazrul hanya berbaju-T dan berseluar jean saja sejak muncul di bus stop tadi.

"Yang kau tak bagi tahu awal-awal kenapa?"

"Dah tahu nak mengintip, gunalah otak sikit."

"Manalah aku tahu aku kena jadi pengintip hari ni. Kalau aku tahu pun, gerenti aku tak nak ikut. Aku nak balik!"

Belum sempat Nurul mengorak langkah pergi, Nazrul pantas menangkap tangan Nurul dan ditariknya masuk ke dalam butik tersebut.

"Aku nak baliklah!" tengking Nurul marah.

Memang dia pantang betul kalau ada orang memaksanya buat sesuatu kerja yang dia sendiri tidak suka. Apa yang dia paling marah adalah apabila tangannya disentuh seseorang yang bukan muhrim.

"Lepaslah tangan aku ni…" Nurul meronta, cuba melepaskan tangannya daripada genggaman Nazrul.

"Kalau aku lepaskan, gerenti kau lari," jawab Nazrul selamba sambil membelek-belek baju sukan di dalam kedai itu. "Kau suka warna apa?"

"Lepaskan tangan aku."

"Kau suka warna apa?" tanya Nazrul lagi.

"Lepaskan tangan aku dulu!"

"Kau suka warna apa?" tanya Nazrul lagi sambil terus menyelak sehelai demi sehelai baju yang tersangkut.

"Lepaskan tangan aku dulu dan aku akan jawab soalan kau tu."

"Jawab dulu dan lepas tu baru aku lepaskan tangan kau." Nazrul masih lagi tidak mahu mengalah.

"Okey, aku suka warna pink." Akhirnya Nurul terpaksa mengalah. "Jadi, lepaskan tangan aku sekarang."

"Okey." Tangan Nurul dilepaskan dan serentak dengan itu Nazrul menghulurkan baju sukan berwarna biru kepada Nurul.

Nurul terpinga-pinga. Rasanya dia baru saja kata dia suka warna pink dan bukannya warna biru tapi sekarang, Nazrul memberinya baju warna biru, kepadanya. Adakah Nazrul ini buta warna?

"Err… ini warna biru," kata Nurul.

"Aku tahu."

"Tadi aku cakap aku suka warna pink."

"Tapi, aku suka warna biru," jawab Nazrul pendek.

Terkebil-kebil mata Nurul mendengar jawapan selamba daripada Nazrul. Tadi beria-ia tanya dia suka warna apa setelah diberitahu, Nazrul memberinya baju warna biru dengan alasan dia suka warna biru. Normal atau tidak normal sebenarnya Nazrul ini?

"Kan aku cakap aku suka warna pink." Sekali lagi pertengkaran berlaku.

"Kan aku cakap, aku suka warna biru," balas Nazrul yang seperti biasa tidak mahu mengaku kalah.

"Lantaklah kau suka warna biru ke, warna hijau ke, tapi sekarang ni aku suka warna pink. Kenapa pula aku perlu pakai warna baju yang kau suka?"

"Sebab aku suka warna biru," jawab Nazrul dengan jawapan yang sama.

"Ah! Lantaklah! Kau pakailah baju biru ni, aku nak balik!"

Baju-T yang diberi oleh Nazrul tadi diletak di tempatnya semula sebelum dia melangkah jauh daripada Nazrul. Mungkin sampai setakat ini sajalah dia ‘dating’ dengan Nazrul yang dianggap orang yang paling tidak normal di dunia.

Tiba-tiba… Crekk… Bunyi baju koyak!

Dengan perlahan Nurul berpaling memandang tangannya yang cuba ditarik oleh Nazrul, tapi malangnya, Nazrul tersilap tarik. Lengan baju kurung sekolahnya ditarik Nazrul sehingga terkoyak di bahagian bahu. Kalau terkoyak sedikit tu boleh lagi dia terima, tapi masalahnya lengan bajunya sudah terlerai dari baju sekolahnya.

"Err…" Nazrul tiba-tiba kaget. Matanya terkebil-kebil memandang helaian lengan baju Nurul yang sudah tercerai dari baju dan berada di dalam genggaman tangannya. Dia kemudiannya memandang wajah Nurul yang kelihatan merah. Sama ada menahan malu atau menahan marah, dia sendiri tidak pasti. Rasanya dia tiada masa untuk meneka jawapan antara dua itu.

"Nazrul!"

Jeritan Nurul kedengaran tidak lama selepas itu sehingga boleh menggegarkan kedai butik itu.

Sah! Nurul sedang marah!


Nurul yang lengkap berbaju-T biru dan berseluar sukan yang juga berwarna biru, sekali lagi mendengus marah. Masuk kali ini, sepanjang dia berjalan menuju ke Sekolah Haji Harun, dia asyik mendengus tidak puas hati. Tangannya memeluk tubuh. Mukanya masam mencuka, manakala matanya asyik memandang tajam ke arah Nazrul yang dua langkah maju di depan. Paling sakit hatinya apabila mendengar siulan Nazrul yang berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi.

Mungkin lepas ni aku patut bagi anjing ratah tulangnya, desis hati Nurul yang hampir rentung dibuat Nazrul hari ini. Lepas satu-satu yang berlaku. Kalau macam inilah selalu, pasti dia akan kena heart attack atau hatinya rosak kerana Nazrul.

"Dah sampai," ujar Nazrul yang berhenti secara tiba-tiba di hadapan sebuah pagar sekolah.

Nurul di belakang turut berhenti berjalan. Dia sendiri tidak menyedari ke mana kakinya melangkah. Mana tidaknya, sejak keluar dari butik sukan tadi, hatinya panas membara bila teringatkan peristiwa yang memalukan tadi. Bila hatinya dah panas, seluruh tubuhnya panas sehingga tubuhnya tidak dapat menumpukan perhatian dan mungkin sebab itulah kakinya hanya mengekori langkah Nazrul. Kalaulah Nazrul tu pembunuh bersiri, mungkin sudah lama dia termasuk perangkap Nazrul tanpa disedari.

Nurul memandang sekeliling. Pelik. Entah kenapa dia rasa dia macam pernah jejak saja ke sekolah itu. Persekitaran dan reka bentuk bangunan sekolah seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Malah, bukan saja lihat, tapi dia rasa macam pernah bersekolah di sekolah itu saja.

"Takkanlah…" Terus dia berpatah balik melihat nama sekolah yang terlekat kemas di atas dinding batu bersebelahan pagar sekolah. SEK. MEN. KEB. SETIAWASIH.

Setiawasih! Bukan ke ini sekolahnya dahulu sebelum dia berpindah rumah pada tahun lepas? Dan, Haji Harun tu… pengetua sekolahnya dulu!

Serentak itu, Nurul menepuk dahinya. Ini sekolah lamanya! Kenapa aku boleh tak perasan ni?

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my