PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 3

3

"GILA!" Farizat terduduk. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Dia seakan tidak percaya sebaik sahaja melihat beberapa helai kertas yang diberikan kepadanya.

"Biar betul!" Zaki selaku bendahari kelab sekadar menggeleng. Juga tidak percaya apa yang dibacanya itu.

"Siapa punya kerja ni?" Ehsan menggaru kepalanya.

Masing-masing memandang Najmi yang tersenyum-senyum kambing mengintai sesuatu di luar. Daripada senyuman miang Najmi, mereka semua sudah boleh mengagak siapa punya kerja. Fikri kemudiannya kelihatan melangkah masuk ke dalam dewan dengan tergesa-gesa.

"Ada upacara apa ni?" tanya Fiq kepada Rezza yang dari tadi duduk mendiamkan diri merenung kertas di hadapannya. Dia kemudiannya menghulur beberapa helai kertas kepada Fiq yang baru sampai itu. Tidak sanggup dia hendak berkata-kata melainkan menyuruh Fiq membacanya sendiri.

Helaian kertas yang dihulurkan Rezza disambutnya dengan tanda tanya. Tanpa bertanya lagi, dia membacanya. Hampir sesak nafasnya apabila melihat angka terakhir pada helaian terakhir kertas tersebut. Beg sekolah yang dipegangnya secara automatik terlepas daripada pegangannya.

"Seratus orang datang temu duga?" ujar Fiq separuh menjerit.

Kesemua mereka langsung tidak berani hendak berkata apa-apa selain memberi isyarat menunjuk ke arah Najmi.

"Najmi!"

Alamak. Najmi yang sedang usyar awek-awek cantik yang beratur di luar sana tersentak tiba-tiba.

"Aku tak kira, kau kena lari seratus pusingan hari ni juga!" ujar Fiq yang mula naik darah.

Mampus. Najmi menggeleng.

"The Perfect Guy dah marah." Sedaya upaya Zaki cuba menahan gelaknya.

Fiq memang terkenal dengan gelaran The Perfect Guy disebabkan Fiq memang nampak sempurna di mata semua orang termasuklah ahli Kelab Bola Sepak yang mengenalinya. Selain perangainya yang cool, dia juga satu-satunya lelaki yang bersopan santun apabila bercakap atau melakukan sesuatu kerja.

Anak seorang ahli politik yang agak terkenal di Dewan Parlimen, tapi statusnya hanya diketahui ahli-ahli rasmi sahaja. Seorang yang low profile. Mudah didampingi tidak kira lelaki ataupun perempuan. Aktif dalam aktiviti sekolah terutama sekali bola sepak dan Kelab Muzik. Pendek kata, Fiq memang sempurna dari segala aspek kecuali cinta. Itu memang gagal!

"Jadi, macam mana ni?" tanya Zaki kebuntuan.

Seratus orang bukannya sikit. Mungkin sampai pagi esok pun takkan habis mereka menemu bual seorang demi seorang. Mencari pengurus bukannya boleh pakai tunjuk saja, apatah lagi pengurus akan handle bukan saja ahli rasmi, tapi ahli biasa yang seramai 50 orang. Yang menjadi masalah sekarang ini, semua yang datang untuk temu duga kebanyakannya adalah perempuan. Kalau lelaki, mereka ini terdiri daripada kumpulan nyah.

"Nak buat pilihan? Tapi, tak boleh juga, kita tak tahu yang mereka semua ni datang memang nak join kelab bola sepak atau nak menggatal." Farizat menarik nafas lemah. Mesti sakit kepala menemu duga pelajar-pelajar perempuan itu nanti.

Masing-masing memandang Rezza yang masih senyap berfikir. Hati dan perasaan mereka yang menunggu di luar sana perlu dijaga demi nama baik Kelab Bola Sepak. Rezza tidak mahu nama baik kelab tercalar disebabkan hal sebegini. Dia kemudiannya menjeling Nazrul yang sedap tidur di sebelahnya. Kemudian dia tersenyum.

"Kenapa?" soal Fiq hairan.

Kemudian masing-masing menjeling Nazrul yang sedang tidur nyenyak di sebelah Rezza. Serentak dengan itu masing-masing dapat membaca apa yang difikirkan oleh Rezza. Mungkin hanya itu sahaja yang boleh mereka fikirkan sekarang.


Mulut Nurul ternganga hampir dua minit apabila sampai saja ke dewan sukan. Dia melihat sekumpulan pelajar perempuan dan sekumpulan lelaki yang boleh diklasifikasikan dalam golongan nyah beratur panjang dari pintu masuk hinggalah ke kantin. Adalah lebih kurang satu kilometer kalau diukur. Dia beratur di hujung sekali. Orang terakhir.

"Terima kasih kepada Sofea." Nurul tersenyum geram.

Dia tidak sangka begitu ramai yang bercita-cita mahu jadi pengurus Kelab Bola Sepak untuk menggatal. Apatah lagi kebanyakan yang datang temu duga spesies minah cinta. Kalau bukan minah cinta pun minah angau. Gedik. Siap bermekap lagi.

"Memang malang betul." Nurul sekali lagi mengeluh lemah.

Hampir dua jam berlalu, temu duga berjalan dengan lancar. Malah, lagi lancar. Baru beberapa saat seorang pelajar masuk untuk ditemu duga, tapi keluar tidak sampai lima minit. Pendek kata panel temu duga hanya memerlukan lima minit atau kurang daripada itu untuk menemu duga ke semua pelajar yang datang. Tapi, yang peliknya, semua yang masuk dengan muka ceria keluar dengan muka masam. Tidak puas hati.

Lama Nurul menunggu akhirnya sampai juga gilirannya. Apabila Nurul melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya dengan mata kuyu mereka. Nampak sangat mereka penat menemu duga hampir seratus orang.

Satu per satu wajah-wajah yang menyerikan Kelab Bola Sepak dipandang Nurul. Rezza, selaku kapten pasukan masih tetap maintain duduk tegak. Begitu juga dengan Fiq yang terkenal dengan sifat pendiamnya. Zaki dan Farizat sudah menguap beberapa kali. Hendak saja dia pelangkung budak dua ekor itu. Matanya tertumpu pada seorang pelajar lelaki yang sedang asyik tidur di sebelah Rezza.

Itu memang dah melampau! Aku penat-penat tunggu kat luar sampai sakit kaki berdiri, dia boleh tidur pula. Darah Nurul mulai menyirap. Tapi sebaik sahaja dia memandang Fiq yang menghadiahkan senyuman manis, entah kenapa hatinya cair.

"Nurul Izzati." Rezza mula berbicara memandang gadis yang duduk di hadapannya itu. "Tak sangka, kita boleh berjumpa lagi," tambahnya.

Dahi Nurul berkerut. Rezza bercakap sesuatu yang dia tidak faham maksudnya.

Berjumpa sekali lagi? Kepalanya ligat berfikir. Takkan Rezza tu…

"Kita pernah berjumpa ke?" tanya Nurul pula.

Kalaulah Rezza yang selamatkannya… Jadi, tidak sia-sialah dia berdiri lama di luar tadi. Selepas ini, kalau Rezza mengaku, dia akan mengucapkan terima kasih dan pergi meninggalkan dewan. Habis cerita!

"Ops… kalau nak tanya soal peribadi sila buat selepas waktu ini ya…" Zaki bersuara.

Nurul menjeling tajam. Kacau daun betul!

"Okey." Rezza menarik nafas lemah. Membetulkan kedudukannya. "Nurul Izzati…"

"Panggil Nurul saja," ujar Nurul.

Rezza mengangguk.

"Minta maaf sebab tunggu lama. Kami pun tak sangka ramai pula yang datang untuk temu duga. Kami selaku AJK tertinggi Kelab Bola Sepak hendak mengucapkan selamat datang pada temu duga hari ni dan seperti mana yang Nurul tahu kami hendak mencari seseorang yang berkebolehan untuk mengurus Kelab Bola Sepak. Apa yang kami cari daripada seorang pengurus adalah semangat yang kuat dan tegas sebab semua ahli-ahli kami ni banyak ragam dan tugas pengurus adalah memastikan segalanya teratur. Tak kira dari segi peralatan padang hinggalah ke kesihatan setiap ahli kelab. Bunyi macam best, tapi percayalah dia orang ni memang memeningkan. Jadi, kami dah buat keputusan, sesiapa dapat lepasi ujian getir ni, kami akan melantiknya sebagai pengurus. Jadi, awak dah sedia?" ujar Rezza panjang lebar seperti yang dikatakan kepada semua yang datang untuk temu duga tadi.

"Dah, tapi sebelum tu, aku cuma nak kata aku tak minat dengan bola sepak," ujar Nurul selamba. Semua mata memandangnya.

"Kami tahu. Semua yang datang sini untuk temu duga bukannya minat dengan bola sepak."

Nurul menghela nafas. Nampaknya tanggapannya salah sama sekali tentang mereka semua. Dia ingatkan mereka semua jenis yang suka berfoya-foya dengan peminat, tapi daripada cara mereka bercakap, nampak mereka semua matang dari usia mereka.

"Jadi, ujiannya?" Nurul bertanya.

Masing-masing tersenyum. Kemudian menjeling Nazrul yang sedap berdengkur.

"Senang saja, kejutkan Putera Katak ni bangun dulu," ujar Rezza tersengih.

"Hah!" Hampir tercabut anak tekak Nurul. "Apa sangkut paut kejutkan dia ni bangun dengan jadi pengurus kelab?" tanya Nurul yang rasa perkara itu tidak logik akal.

"Kami percaya kau takkan faham." Fiq mula berbicara dengan nada mesra. Hampir cair hati Nurul apabila pertama kali mendengar suara Fiq. "Tapi, kami percaya kalau kau terpilih jadi pengurus pasukan, kau akan faham kenapa. Percaya atau tidak, Nazrul sudah tidur sejak awal lagi dan daripada semua yang datang temu duga tadi, tiada sesiapa pun yang dapat mengejutkan Nazrul bangun."

"Hah?" Nurul seakan tidak percaya. Patutlah sejak mula-mula tadi, kebanyakan yang datang temu duga keluar dengan muka yang masam. Ada juga yang tidak puas hati dengan temu duga tersebut. Rupa-rupanya kena kejutkan seseorang yang tidur tidak ingat dunia. Tapi, benarkah lelaki yang tidur itu tidak bangun sejak tadi?

"Salah satu tugas pengurus adalah memastikan semua ahli turun padang untuk sesi latihan terutama sekali ahli-ahli rasmi. Kalau nak kejutkan Nazrul bangun pun tidak boleh buat, kami rasa tidak guna kami lantik seorang pengurus kelab," tambah Rezza memberi penerangan lagi.

Nurul tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia mengangkat kaki keluar dari situ. Tapi, senyuman Fiq membuatkan dia bagaikan hilang kawalan. Sedar sedar saja, dia sudah berada di hadapan Nazrul yang sedang tidur nyenyak itu.

"Err…" Nurul rasa janggal apabila mendapati semua mata memandangnya.

Entahlah! Sama ada dia dipermainkan atau ini sebahagian daripada ujian yang mereka katakan tadi, dia sendiri pun tidak pasti. Yang pastinya, dia sudah terperangkap dan mahu tak mahu, dia harus teruskan juga.

"Hei, bangunlah." Dicuit sedikit bahu Nazrul. Langsung tiada reaksi. Nurul menggaru kepala apabila hampir banyak kali memanggil Nazrul bangun. Pelik. Tidur ke mati ni? Dia memandang mereka yang lain yang masih menunggu.

"Hei, bangunlah!" Nurul menjerit sambil menggoyang-goyangkan bahu Nazrul. Nasib baiklah Nazrul memakai sweater, kalau tidak jangan haraplah dia hendak memegang bahu lelaki yang tidak dikenali.

Sebentar kemudian Nazrul mula menunjukkan dia sudah sedar. Kepalanya di angkat mamai. Matanya terbuka sedikit. Jelas sekali kemerahan pada matanya mungkin kerana mengantuk. Nurul menarik nafas lega.

Akhirnya bangun juga budak ni.

"Hai, darling, cium sikit," ujar Nazrul yang masih mamai.

Dengar saja Nazrul cakap begitu, darah Nurul mula naik mendadak. Tangan kanannya digenggam kuat.

"Tak guna!!!" Sepantas kilat Nurul mengayunkan penumbuk ke muka Nazrul sehingga Nazrul tersungkur ke lantai. Dadanya berombak. Geram. Panas. Marah. Rasa dibodohkan. Semuanya ada.

Kemudian dia memandang Rezza dan yang lain. Mereka semua masih berlagak selamba. Seolah-olah tidak nampak yang dia sudah membelasah Nazrul sehingga tersungkur. Tiba-tiba saja dia diselubungi perasaan pelik.

"Aaa…" Nazrul yang tersungkur di lantai bangun sambil mengeliat membetulkan otot-ototnya. Pipinya yang kena tumbuk tadi digosok-gosok sedikit sebelum duduk di tempatnya semula. Dia tersengih-sengih. "Okey, jom mula temu duga," ujarnya selamba.

Nurul mengerut dahi.

Spesies apa budak ni? Takkan dia tak tahu yang dia baru saja kena tumbuk? Lepas tu boleh kata nak mulakan temu duga. Dia tahu ke aku ni orang terakhir yang ditemu duga? Nurul menggaru tengkuknya. Pelik.

"Err… kenapa?" tanya Nazrul pelik apabila semua kawan-kawannya mendiamkan diri. Dia tertinggal kereta api lagikah?

"Welcome to Football Club, Nurul Izzati," ucap Rezza mengukirkan senyuman lega. Akhirnya dia jumpa juga orangnya.

Nurul tidak tahu hendak kata apa. Benarkah apa yang Rezza cakap tadi? Welcome to Football Club? Adakah itu maknanya dia sekarang dilantik sebagai pengurus Kelab Bola Sepak yang baru? Tapi kenapa? Inilah malangnya… desisnya lemah.


Sofea tidak berhenti ketawa. Terbahak-bahak tawa Sofea selepas Nurul menceritakan pengalaman ditemu duga oleh AJK Kelab Bola Sepak untuk jawatan pengurus petang tadi. Itu pun setelah tidak tahan didesak oleh Sofea yang ingin mengetahui apa yang berlaku di sebalik pemilihan Nurul sebagai pengurus. Selepas saja Nurul menceritakan segalanya, Sofea sudah tidak dapat menahan gelaknya dan dia ketawa dengan kuatnya. Kalah puntianak yang selalu bertenggek di pohon pokok rambutan di belakang rumah. Serta-merta puntianak itu akan letak jawatan, tidak mahu mengilai lagi sebab kecewa ada lagi yang pandai mengilai.

Nurul dari tadi menjeling tajam. Masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Dia masih tidak dapat mencari alasan sebenar kenapa dia dipilih sebagai pengurus sedangkan dia rasa dia tidak membuat dengan betul tadi.

Ah, mereka pun satu, ada ke bagi ujian suruh kejutkan budak lelaki tu bangun tidur? Tak pasal-pasal ayunya hilang dengan menghadiahkan satu tumbukan padu ke pipi pelajar lelaki yang kurang dikenalinya itu.

"Aku tahu… dia orang tu mesti suruh kau bangunkan Nazrul." Sofea berkata dengan nafas tersekat-sekat kerana masih menahan gelak. "Hanya Nazrul saja yang suka tidur dalam kumpulan mereka tu. Dia tu kalau tidur memang dah tak ingat dunia. Lagi satu, kalau Malaysia ni kena bom pun mungkin dia takkan bangun. Pendek kata bila dia dah tidur, tiada sesiapa pun yang dapat bangunkannya selain Rezza. Nampaknya kau juga dah berjaya bangunkan Sleeping Handsome tu," terang Sofea.

"Sleeping Handsome apa? Tidur macam katak puru aje aku tengok. Mulut terbuka, siap berdengkur lagi. Lagi satu, ada ke masa aku kejutkan dia, dia minta aku cium dia. Aku geram sangat, aku tumbuklah dia, tapi budak tu macam tiada perasaan saja." Nurul menarik nafas lemah. Dia teringatkan Nazrul yang menggeliat malas membetulkan otot-ototnya dan menggosok pipinya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Kalau dia dah tidur, dia takkan sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Bom meletup di sebelah dia pun dia gerenti takkan sedar punya. Dia tu memang kuat tidur, tapi yang peliknya dalam kuat tidur, pelajarannya okey. Mungkin dia tu jenis yang genius. Nazrul tu okey. Jangan risau, dia bukan jenis yang suka membuli. Tapi, aku rasa kau tetap akan kena buli."

"Hah! Beranilah dia orang nak buli aku. Aku buli dia orang tu balik. Nanti aku letak ubat julap kat minuman dia orang baru tahu!" ujar Nurul tidak mahu mengaku kalah.

Sofea di sebelahnya sekadar tersengih-sengih.

"Ni kau punya pasallah. Datangkan bala yang tak dijemput. Tak pasal-pasal aku kena jadi pengurus dia orang pula."

"Kalau kau tak suka, lepas beberapa bulan kau letaklah jawatan," jawab Sofea senang.

"Sofea, aku ni memanglah kejam, tapi aku tak suka buat kerja separuh jalan. Kalau tak, aku dah letak jawatan tadi. Tapi aku tak mahu buat kerja separuh jalan. Aku dah dapat jawatan ni dan aku kena berusaha walaupun aku suka ataupun tidak. Aku tak mahu dianggap sebagai pengecut. Walaupun aku tak minat dengan bola sepak, aku tak minat dengan AJK kelab yang gila tu, tapi aku tetap nak teruskan sebab…" Kata-kata Nurul tidak disudahkan. Tiba-tiba dia teringatkan wajah Fiq sedang tersenyum memandangnya.

"Sebab…?" tanya Sofea.

Nurul tersentak. "Sebab… Anggaplah aku nak cari orang yang selamatkan aku tu," jawabnya selamba. Dalam hati, dia hampir menjerit sebab tidak terkantoi dengan Sofea bahawa dia sedang tangkap lentuk dengan Fiq.

"Pelik. Bukan ke kau tak teringin nak cari orang tu?" Sofea menggaru dagunya ala-ala orang sedang berfikir. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kawannya itu.

"Memanglah! Kalau aku tak cari kau akan paksa aku cari jugak. Lebih baik aku cari sampai dapat, lepas tu dunia aku akan kembali aman seperti biasa," jawab Nurul menjeling tajam.

Sofea di sebelahnya tersengih-sengih menahan tawa. Kalau Nurul sudah bercakap memang tiada tapisan langsung. Nasib baiklah dia sudah kenal Nurul sejak dua tahun yang lalu. Bagi sesiapa yang baru kenal Nurul mungkin tidak akan tahan dengan perangai Nurul yang terlampau berterus terang. Kalau Nurul tidak suka, memang Nurul akan cakap tidak suka. Kalau seseorang itu membosankan, Nurul juga akan cakap begitu. Mungkin sebab itulah di sekolah Nurul tidak ramai kawan. Nasib baiklah dia sanggup berkawan dengan Nurul. Baginya, dia lebih suka berkawan dengan orang yang berterus-terang tanpa berselindung daripada berkawan dengan orang yang suka bercakap bukan-bukan di belakang.

"Masa temu duga tu kau dapat cam tak siapa selamatkan kau?" tanya Sofea.

"Seorang pun aku tak dapat cam sebab aku tak nampak wajah lelaki yang selamatkan aku tu. Yang aku nampak jaket rasmi saja dan kat sana tadi semua pakai jaket rasmi kecuali budak yang aku tumbuk tu. Dia saja yang pakai jaket putih. Ada lagi yang tak hadir petang tu sebab ada hal lain. Mungkin esok aku akan jumpa semua pemain rasmi sebab ada mesyuarat penting," terang Nurul.

"Mungkin selepas ini hidup kau akan bertambah sibuk. Tak dapatlah kita pergi dating."

"Kau datinglah dengan boyfriend kau tu."

"Kau ni pun satu, bila masa aku ada boyfriend? Tapi, aku berharap sangat kau kenalkan seseorang daripada ahli rasmi tu kat aku." Sofea mengangkat keningnya sambil tersenyum bermakna.

"Gatal!"

"Memanglah aku gatal. Gatal nak ada boyfriend. Aku tengok semua kawan-kawan kita kat kelas tu dah ada balak. Aku ni kayu balak pun tiada. Aku tak nak kena gosip dengan kau sebagai girlfriend kau sebab asyik bersama kau aje."

"Gila! Tapi… aku rasa ada seorang yang sesuai dengan kau," ujar Nurul.

Serta-merta mata Sofea bercahaya.

"Nazrul. Dia tu sesuai dengan kau."

"Kalau si Nazrul tu baik tak payah. Orang macam dia tu berlambak kat Pasar Selayang. Dahlah asyik tidur 24 jam. Nanti masa pergi dating, bukannya dating… dia tidur lagi adalah."

Kali ini Nurul pula ketawa terbahak-bahak. Tidak dapat dia bayangkan Sofea pergi dating dengan Nazrul.

Prince Charming 4

4

SEBAIK sahaja jam di tangan menunjukkan jam 2.00 petang, Nurul yang baru sahaja menunaikan solat zuhur di surau sekolah bergegas ke bilik yang memang disediakan khas untuk ahli-ahli Kelab Bola Sepak berkumpul. Selalunya bilik yang terletak di sebelah bilik yang menyimpan peralatan sukan itu, dijadikan markas pemain-pemain bola sepak untuk bermesyuarat dan tempat beristirahat selepas tamat latihan di padang.

Pintu bilik telah pun terbuka luas sebaik sahaja Nurul tiba di hadapan pintu. Dia menjenguk ke dalam. Sunyi. Hanya bunyi kipas berpusing sahaja kedengaran. Pelik. Tiada seseorang pun di dalam. Dilihat jam tangannya. Seingatnya mesyuarat akan bermula jam 2.00 petang, tapi tiada seorang pun di dalam. Atau, dia yang tersilap.

"Cari siapa?"

Sapaan seseorang di belakang membuatkan Nurul terkejut. Pantas dia memalingkan kepalanya.

Nazrul! Hatinya menjerit apabila mendapati lelaki yang menegurnya tadi adalah Nazrul. Teringat pula kejadian semalam. Kejadian yang amat memalukan dirinya sehingga dia hilang keayuan. Depan jejaka handsome pula tu.

"Dia Nurul. Mulai hari ini dia akan menjadi pengurus Kelab Bola Sepak," ujar Fiq menghampiri mereka berdua.

Fiq menghadiahkan senyuman kepada Nurul membuatkan Nurul hampir hilang imbangan. Panahan asmara daripada lelaki yang kacak seperti Fiq, masakan dia tak gila bayang.

"Oh…" Nazrul mengangguk faham.

Mereka bertiga kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Dari tadi Nurul asyik memerhati keadaan sekeliling bilik. Bilik tersebut hanya mempunyai beberapa lokar khas untuk ahli pasukan menyimpan barang, satu meja mesyuarat yang lengkap dengan beberapa kerusi platik dan sebuah sofa yang nampak uzur. Di sekeliling dinding yang dicat warna putih itu pula tertampal beberapa poster bola sepak dan gambar-gambar pemain-pemain bola sepak yang pernah mengharumkan nama sekolah.

Rasanya bagaikan mimpi sahaja dia diterima sebagai pengurus Kelab Bola Sepak merangkap setiausaha yang diidam-idamkan oleh ramai pelajar perempuan di sekolahnya itu.

"Duduklah dulu, yang lain tu biasalah. Janji Melayu. Kalau kata mesyuarat jam 2.00 petang, mereka akan datang setengah jam lewat. Sebenarnya mesyuarat akan mula 2.30 petang," kata Fiq selepas mencapai beberapa buah fail dari dalam lokarnya.

Tanpa bercakap banyak Nurul berlalu duduk. Dia sempat menjeling ke muka pintu. Kelibat Rezza kelihatan berbual dengan Nazrul di hadapan pintu. Nazrul dan Rezza memang merupakan sahabat baik. Mereka berdua tidak pernah kelihatan bergaduh atau bermasam muka. Tapi, jika dibandingkan antara mereka berdua, nama Rezza lagi popular berbanding Nazrul. Mungkin ramai yang tidak suka dengan perangai Nazrul yang asyik tidur dan ponteng kelas semata-mata hendak tidur.

Tapi, apa yang dia tidak faham, pihak sekolah seolah-olah menutup mata sahaja apa yang dilakukan oleh Nazrul. Jika pelajar lain, pasti surat amaran telah diberikan atau digantung sekolah. Tapi, dalam kes Nazrul tiada tindakan pun yang diambil oleh pihak sekolah.

"Sebelum kami memilih seorang untuk uruskan kelab ni, Rezza suruh aku kumpulkan maklumat tentang kelab ni dan maklumat berkenaan bola sepak. Semuanya ada di sini." Fiq menghulur sebuah fail ABBA kepada Nurul.

"Sebelum ni kelab ni diuruskan oleh siapa?" tanya Nurul. Pelik juga apabila tiba-tiba mereka ingin mencari seorang pengurus.

"Oleh AJK kelab. Sebelum ni AJK yang handle semuanya, tapi memandangkan AJK kelab kebanyakannya pelajar tingkatan lima dan akan menghadapi peperiksaan SPM, aktiviti kami dihadkan. Kami ada juga AJK tingkatan empat dan ke bawah, tapi setelah berbincang kami buat keputusan untuk wujudkan satu jawatan pengurus merangkap setiausaha kelab sebab tugas ni agak berat. Kami memang pandang serius dengan orang yang kami pilih apatah lagi yang datang untuk temu duga semalam semuanya perempuan." Fiq mengeluh.

"Ada juga lelaki yang datang," kata Nurul.

Mereka berdua ketawa kelucuan apabila teringat kembali mat-mat sotong yang turut menghadiri temu duga tersebut.

"Tapi, apa yang aku tak faham, kenapa pilih aku? Kenapa aku perlu kejutkan Nazrul bangun tidur?"

"Ahli kami ada pelbagai ragam yang tak diketahui oleh orang lain. Semalam tu, baru Nazrul buat hal. Kau belum lagi berjumpa dengan pemain yang lain. Yang banyak ragam dan banyak timbulkan masalah. Dalam banyak-banyak masalah, bangunkan Nazrul daripada tidur adalah tugas yang lebih mencabar." Fiq melemparkan pandangan ke luar melihat Nazrul dan Rezza sedang berbincang sesuatu.

Nampaknya tugas aku macam kena bangunkan Putera Katak bangun saja, desis hati Nurul sambil menjeling Rezza yang masih rancak berbual bersama Nazrul di luar.


Bilik tersebut meriah dengan kedatangan beberapa AJK kelab yang lain sampai. Riuh-rendah juga jadinya dengan kedatangan mereka. Rata-rata mereka memang Nurul kenali. Mana tidaknya, kebanyakan ahli rasmi bola sepak memang popular di sekolah. Putera idamanlah katakan.

Sementara menunggu kedatangan Cikgu Majid selaku guru penasihat Kelab Bola Sepak sekolah dan tanpa mempedulikan kemeriahan pemain-pemain bola sepak yang seperti budak-budak tidak cukup umur bermain, Nurul membuka fail yang diberikan oleh Fiq kepadanya tadi.

Terdapat sebelas orang pemain rasmi yang dipilih untuk mewakili sekolah dalam perlawanan bola sepak dan mereka ini juga memegang jawatan penting dalam Kelab Bola Sepak. Rezza diberi mandat untuk menentukan hala tuju kelab dengan dilantik sebagai pengerusi Kelab Bola Sepak. Naib pengerusi pula adalah Fiq. Manakala setiausaha kelab dipegang oleh Khairul Najmi. Ridzwan selaku bendahari kelab.

Manakala baki tujuh orang yang selebihnya dilantik sebagai ahli jawatankuasa kecil kelab. Mereka adalah Zul Hilmi, Hayrul Azriq, Mohd Zaki, Zaimi Ahmad, Farizat Hamdan, Adnan Yazir dan Nazrul. Kebanyakkan mereka ini bukan calang-calang pelajar. Ada antara mereka pernah menerima pelajar cemerlang dan pernah mengharumkan nama sekolah dalam setiap pertandingan yang mereka sertai. Mungkin sebab itulah ramai pelajar perempuan menganggap kesemua ahli bola sepak sebagai putera idaman mereka.

Aku tak fahamlah, apa yang best sangat pasal bola sepak ni? Dalam diam Nurul mengeluh. Dia tidak tahu berapa lamakah dia boleh bertahan dengan mereka semua. Kalau mengikut kehendak hati hendak saja dia menyerah kalah. Tapi, bila difikirkan tentang Fiq pula, hatinya berat untuk melangkah.

Gila betullah. Memang susah betul kalau aku dah jatuh hati dengan seseorang! desis Nurul sempat mencuri pandang ke arah Fiq yang sedang membalas mesej. Memang dia mengakui, dia mudah jatuh cinta apabila berjumpa dengan lelaki kacak seperti Fiq dan sebab itulah selama ini dia melancarkan peperangan dengan Carta Prince Charming. Dia takut sejarah yang sama berulang kembali. Betapa peritnya apabila cintanya ditolak seseorang semasa menuntut di sekolah lama.

Tapi semalam, sebaik sahaja terpandang wajah Fiq, dia hilang pertimbangan. Dia lupa bahawa dia benci dengan sukan bola sepak. Dia masih berkeras mahu menerima tawaran yang diberikan asalkan dia dapat melihat Fiq dari dekat.

Tidak beberapa lama kemudian, Rezza dan Nazrul yang rancak berbual di luar tadi melangkah masuk ke dalam dan diikuti dengan Cikgu Majid selaku penasihat Kelab Bola Sepak.

Cikgu Majid yang pernah mengajar Nurul mata pelajaran Sains sewaktu di tingkatan tiga pada tahun lepas menghadiahkan senyuman kepadanya tanda masih lagi mengingatinya. Nurul membalasnya semula.

"Baiklah, terima kasih kerana dapat hadir ke mesyuarat kali ini. Mesyuarat kali ini adalah bertujuan untuk memaklumkan perlantikan Nurul Izzati sebagai pengurus merangkap penolong setiausaha Kelab Bola Sepak. Harap Nurul Izzati dapat membantu menyudahi kerja-kerja Najmi yang tertunggak," ujar Cikgu Majid sambil memandang Najmi yang sudah tersengih.

"Patutlah dia sokong sangat nak wujudkan jawatan pengurus dan penolong setiausaha. Malah, membukanya pada kaum perempuan," ujar Zaki sambil menjeling tajam.

"Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu," sambung Ridzwan.

Najmi masih lagi tersengih.

"Kalau macam tu aku pun nak wujudkan jawatan penolong bendahari jugalah. Terbuka khas untuk pelajar-pelajar perempuan."

"Kalau kau nak datangkan bala yang tak dijemput lagi, teruskanlah dengan niat kau tu," balas Rezza pula. Bilik itu gamat dengan gelak ketawa mereka.

"Kenapa kau pilih perempuan pula untuk jawatan ni?" tanya Hayrul yang sejak tadi asyik mendiamkan diri. Selain berbakat dalam bola sepak, Hayrul juga merupakan ketua pengawas. Orangnya memang tegas dan jarang nampak dia tersenyum. Mungkin sebab itulah ramai orang yang gerun dengan Hayrul.

"Hampir 90 peratus yang datang temu duga semalam adalah perempuan dan sepuluh peratus lagi adalah lelaki spesies sotong. Kalau kau yang berada di situ, adakah kau nak pilih Encik Sotong atau perempuan tulen?" balas Rezza menjawab pertanyaan Hayrul.

"Tak mengapalah. Apa salahnya kalau kita beri peluang pada kaum perempuan untuk menyertai Kelab Bola Sepak. Lagipun bola sepak bukan untuk lelaki, malah ada juga pasukan bola sepak perempuan. Jika boleh memang saya nak wujudkan satu Kelab Bola Sepak perempuan, tapi bukan senang nak lakukannya. Saya percaya, Rezza pilih orang yang betul untuk pasukan ini. Lagipun saya memang sudah agak pasti kebanyakan yang datang temu duga itu adalah perempuan." Cikgu Majid sekali lagi menjeling tajam ke arah Najmi yang mengangguk-angguk.

"Ya! Betul tu! Aku tak nak Kelab Bola Sepak ni dianggap kelab gay sekolah. Kadangkala bosanlah asyik dikelilingi lelaki saja. Kalau ada perempuan cantik macam Nurul ni, mesti kita bersemangat lagi nak berlatih. Kan, Nurul?" Najmi mengenyit sebelah matanya.

Aku sepak juga jantan miang ni, bentak Nurul geram. Terasa satu mukanya panas sebaik sahaja Najmi menghadiahkan kenyitan mata yang menggoda. Buat malu saja!

"Yang bersemangat tu kau seorang saja," sindir Farizat yang hanya mampu menggeleng kepala.

"Baiklah, kita selesaikan perkara ini sampai di sini saja. Keputusan muktamad. Nurul Izzati akan menyertai Kelab Bola Sepak. Saya mahu Rezza dan Fiq tolong bantu Nurul. Nazrul... tolong jangan tidur lagi," ujar Cikgu Majid sempat memberi amaran kepada Nazrul yang sudah berbantalkan lengan. Serentak dengan itu kedengaran dengkuran kuat daripada Nazrul. Cikgu Majid hanya mampu menggeleng.

Kesemua mereka dilihat cuba menyembunyikan tawa mereka sebaik sahaja dengkuran Nazrul kedengaran. Cikgu Majid menggaru-garu kepalanya yang sudah ditumbuhi rambut-rambut putih. Nurul pula, berasa dia berada di dunia yang asing. Bagaimana Cikgu Majid yang dikenali seorang yang tegas boleh menggeleng saja apabila Nazrul tidur sewaktu mesyuarat berlangsung. Itu namanya tidak hormat mesyuarat.

"Baiklah agenda seterusnya…" Tanpa mempedulikan Nazrul yang masih lagi berdengkur, Cikgu Majid meneruskan mesyuarat. "Disebabkan ramai antara pemain akan menghadapi peperiksaan SPM dan PMR tahun ini, saya telah buat beberapa rancangan untuk kelab ini. Aktiviti padang dan latihan intensif akan berjalan seperti biasa untuk semua ahli rasmi, manakala bagi pertandingan pula, ahli rasmi hanya akan terlibat dalam satu pertandingan sahaja iaitu Kejohanan Bola Sepak Peringkat Sekolah-Sekolah yang akan diadakan pertengahan tahun ini.

"Rezza, saya mahu awak wujudkan satu pasukan lagi yang akan menjadi pelapis Kelab Bola Sepak. Saya tak mahu tahun depan, bila awak dah tinggalkan sekolah ini, ada yang berebut-rebut nak menjadi ahli rasmi," arah Cikgu Majid.

Rezza hanya sekadar mengangguk.

"Mengenai kejohanan yang akan berlansung nanti, apa yang telah dimaklumkan bahawa kita akan menerima kunjungan daripada pasukan Haji Mansur," ujar Cikgu Majid sambil mengeluh memandang Nazrul yang masih lagi berdengkur.

"Haji Mansur?" Zul Hilmi bertanya kembali.

"Kelab Bola Sepak kawasan kampung ke?" tanya Adnan pula.

"Kawasan kampung?" Zaimi terbayangkan orang-orang tua yang akan menjadi lawan mereka nanti.

"Kenapa aku rasa aku tak pernah dengar pun pasukan tu? Tu sekolah ke?" tanya Zaki pula sambil menggaru kepala.

"Sekolah baru. Baru saja dua tahun lepas beroperasi. Mereka pernah menyertai kejohanan yang sama tahun lepas, tapi terkandas di perlawanan separuh akhir." Nazrul tiba-tiba bersuara dan bangun dari tidurnya yang nyenyak. Terkejut Nurul dibuatnya. Ingatkan lelaki itu tidur sehingga tidak ingat dunia. Rupa-rupanya masih belum tinggalkan dunia ni.

"Aku rasa kau orang pun tahu pasal pasukan ni." Nazrul memeluk tubuh.

"Pasukan yang perasan dia orang charming tu?" teka Farizat.

Nazrul hanya sekadar mengangguk.

"Sekolah Semarak?" tanya Rezza untuk mendapat kepastian lagi.

Angguk.

Masing-masing menarik nafas lemah.

"Tapi, kenapa nama pasukan Haji Mansur pula?" tanya Adnan.

Nazrul tidak segera menjawab, sebaliknya memandang Nurul yang tidak jauh daripadanya. "Aku lupa nama sekolah tu, tapi aku ingat nama pengetua sekolah tu Haji Mansur. Sebab nak cepat aku beritahulah Cikgu Majid nama pasukan tu Haji Mansur," balas Nazrul selamba.

Masing-masing mengeluh lemah. Nazrul memang benar-benar buat orang lain hilang akal. Ingatkan jawatankuasa kampung manalah yang hendak berlawan dengan mereka di padang.

"Nama pengetua dia kau ingat, tapi nama sekolah kau tak ingat…" Zul sekadar menggeleng.

Begitu juga dengan Cikgu Majid yang sudah penat otaknya berfikir siapakah gerangan di sebalik pasukan Haji Mansur. Nazrul memang benar-benar mencabar otaknya berfikir sehingga dia sendiri tidak mendapat klu. Tapi, dia tetap memang memandang tinggi dengan Nazrul. Baginya, biarpun Nazrul suka tidur, tapi apa yang ditugaskan kepada Nazrul dibuat dengan lancar dan sempurna.

Nazrul sekadar tersengih.

"Kalau dia orang nak lawan kita, memang masalah," ujar Najmi.

"Memang masalah pun," ujar Nazrul sambil kembali berbantalkan lengan.


Mesyuarat habis sejam selepas itu. Bilik yang Kelab Bola Sepak meriah tadi kembali sunyi. Beberapa ahli rasmi sudah pulang ke rumah dan ada juga antara mereka yang sudah pergi melepak di kedai kopi yang terletak berhampiran sekolah mereka.

Nurul masih lagi tekun membaca fail yang diberikan oleh Fiq tadi. Sesekali dia memuji tulisan Fiq yang kemas dan teratur. Tidaklah seperti sesetengah tulisan pelajar lelaki yang macam cakar ayam yang baru pandai mencakar.

Rezza sedang berbincang sesuatu dengan Cikgu Majid. Dia tidak dapat mendengar perbualan mereka walaupun jarak antara dia dengan mereka berdua hanya beberapa meter sahaja jauhnya. Dia cuba membesarkan telinga sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut-sebut.

"Nurul perlu tahu," kata Cikgu Majid dengan wajah yang serius.

"Terlampau awal. Saya tak yakin…" Rezza menggeleng.

"Awak pilih dia, jadi awak mesti ada keyakinan. Kalau tidak, awak tak akan pilih dia. Lagipun sejak dari hari tu lagi saya dah cakap pasal benda ni. Kalau nak lantik pengurus di kalangan pelajar untuk kelab ni, awak mesti bersedia dengan semua ni," kata Cikgu Majid lagi.

"Saya tahu, tapi benda ni susah sikit," balas Rezza sambil menggaru dahinya. Sesekali dia menjeling Nurul yang tidak jauh daripadanya.

"Maksud awak?"

"Nazrul. Saya tak yakin yang Nazrul akan benarkan," kata Rezza lagi sambil menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur dengan kuat. "Cikgu sendiri pun tahu kan dia memang fobia kalau orang lain dapat tahu yang dia tu…" Kata-katanya terhenti. Bukannya dia tidak sanggup untuk teruskan kata-katanya, tapi dia sendiri sudah berjanji dengan Nazrul bahawa tidak akan menyebutnya walaupun orang itu tahu tentang perkara itu.

"Jadi, awak nak biarkan saja?" tanya Cikgu Majid.

"Dia cakap, dia boleh kontrol," ujar Rezza.

"Baiklah, tapi saya nak tanya awak sesuatu. Berapa lama awak semua boleh bertahan?" soal Cikgu Majid beralah.

Rezza menghela nafas panjang sebaik sahaja Cikgu Majid hilang dari pandangannya.

Nurul yang berpura-pura asyik memandang fail di hadapannya masih berlagak seperti dia tidak wujud di situ. Tapi, hatinya sudah pun menyenaraikan soalan-soalan mengenai perbualan yang dicuri dengar tadi.

Dia menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia letakkan bom di dalam mulut Nazrul yang mengganggu ketenteramannya.

Fiq pula sedang asyik mengemas lokarnya yang disediakan oleh pihak sekolah untuk ahli-ahli rasmi menyimpan barangan mereka.

"Wei, jom pergi makan. Aku laparlah. Dari pagi lagi aku tak makan."

"Okey, tapi siapa yang tanggung ni?" tanya Farizat yang dari tadi sedang menyusun buku-bukunya ke dalam lokar.

"Tanggung diri sendirilah." Rezza berkata selamba sambil menghampiri Nazrul. "Wei, bangun. Jom pergi makan."

Serentak itu, Nazrul terus mengangkat kepala.

Nurul yang melihatnya sedikit rasa pelik. Dia ada dengar daripada Sofea yang mengatakan hanya Rezza sahaja yang mampu mengejutkan Nazrul bangun daripada tidur yang lena. Tapi, dia masih lagi tidak percaya. Mustahil Nazrul tidur tidak ingat dunia dan mustahil juga tiada sesiapa pun yang dapat kejutkannya bangun.

"Makan? Jom, jom!" Bergegas Nazrul mencapai beg sekolahnya.

"Nak join sekali?" tanya Rezza kepada Nurul.

"Err… tak mengapa. Aku dah kenyang," balas Nurul.

"Wei, Rezza, cepatlah!" jerit Nazrul yang sudah tidak sabar-sabar.

"Fiq," sapa Rezza memberi isyarat.

"Kau gerak dulu. Nanti aku datang," balas Fiq.

"Okey."

Mereka bertiga berlalu pergi. Kini, hanya tinggal Fiq dan Nurul sahaja di dalam bilik itu. Nurul yang berasa janggal dengan situasi tersebut terus mengemas barang-barangnya. Dia mahu keluar secepat mungkin dari situ. Nanti entah apa pula gosip yang melanda dirinya. Berdua-duaan dengan Fiq di dalam bilik? Memang ngeri!

"Aku balik dulu," ujar Nurul yang sudah siap mengemas barang-barangnya. "Fail ni aku pinjam untuk buat rujukan." Dia mula melangkah keluar.

"Tunggu!"

Langkah Nurul terhenti apabila Fiq bersuara. Lantas Fiq menutup lokarnya dan mencapai beg sekolahnya. Pintu bilik dikunci dan dimanggakan sekali.

"Kenapa?" tanya Nurul.

"Pasal apa yang dibincangkan tadi tu, ada apa-apa yang kau tak faham?" tanya Fiq sambil berjalan seiringan dengan Nurul.

"Bolehlah, tapi aku masih tak faham lagi dengan nama sekolah tu."

"Dah agak dah." Fiq tersenyum. Sekolah Haji Mansur tu sebenarnya Sekolah Menengah Semarak. Ni semua Nazrul punya pasallah. Nama pengetua dia ingat, tapi nama sekolah dia lupa." Fiq sekadar menggeleng.

Nurul masih lagi kurang faham.

"Oh, lupa nak beritahu, sebenarnya tugas Nazrul adalah mencari maklumat tentang pasukan lawan termasuklah menguruskan jadual perlawanan. Cikgu Majid dah serahkan tugas ini kepada Nazrul. Dia juga orang penting dalam kelab ni. Bagi sekolah-sekolah yang ingin adakan perlawanan persahabatan dengan sekolah kita juga mesti melalui Nazrul terlebih dahulu dan Nazrul juga yang akan pastikan sama ada ingin terima sesuatu perlawanan atau tidak," terang Fiq.

Kali ini Nurul mengangguk faham. "Tentang sekolah tu aku ada dengar…"

"Dengar apa?"

"Tentang pelajar-pelajar lelaki mereka. Dia orang tu kira charminglah," ujar Nurul lagi.

Fiq di sebelah Nurul mengangguk setuju.

"Tapi, kenapa kau orang semua kata mereka tu bermasalah?"

"Sebenarnya…" Fiq menghela nafas lemah dan kemudian menggeleng. "Anggap sajalah benda ni hal orang lelaki."

Nurul sekadar mengangguk faham. Kalau hal orang lelaki sudah semestinya perempuan tidak boleh masuk campur atau dengan kata lain, walaupun dia memaksa Fiq bercakap, Fiq tetap tidak akan bercakap tentangnya. Jadi, lebih baik dia lupakan tentang hal-hal orang lelaki.

"Jadi, kau nak join kami semua?" tanya Fiq.

Geleng.

"Kalau macam tu, aku pergi dulu. Jumpa esok."

"Jumpa esok…" balas Nurul sebelum Fiq mengatur langkah untuk ke kedai kopi yang berhampiran. Kelihatan dari jauh, Rezza dan rakan-rakan yang lain melambai-lambai ke arah mereka.

Jam di tangan dilihat, tepat jam 4.30 petang. Nurul segera mengatur langkah ke bahu jalan. Memerhati kiri dan kanan jalan untuk melintas. Kali ini dia perlu berhati-hati supaya kejadian tempoh hari tidak berulang lagi. Selepas mendapati semuanya selamat, dia segera mengorak langkah melintas jalan raya.

Tiba-tiba…

"Nurul!"

Jeritan Rezza dari warung kopi mengejutkan Nurul yang sedang melintas jalan. Apabila dia berpaling, dia dapat melihat sebuah kereta sedang meluncur laju menghampirinya.

Matilah… itu sahaja yang difikir Nurul ketika itu. Mungkin kali ini dia tidak dapat lari lagi. Tiada sesiapa yang akan menyelamatkannya. Dan, mungkin di sini sahajalah perjalanan hidupnya.

Tiba-tiba tubuhnya di tarik ke tepi. Sedar-sedar sahaja di dalam dakapan seseorang. Nurul kaget sebentar. Dia cuba bernafas dengan betul walaupun payah. Nafasnya turun naik dengan laju. Tidak percaya dia terselamat buat kali kedua.

"Kau tak apa-apa?" suara Fiq mengejutkannya.

Pantas dia memandang Fiq di hadapannya.

Prince Charming, hati Nurul bersuara.
 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my