PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 3

3

"GILA!" Farizat terduduk. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Dia seakan tidak percaya sebaik sahaja melihat beberapa helai kertas yang diberikan kepadanya.

"Biar betul!" Zaki selaku bendahari kelab sekadar menggeleng. Juga tidak percaya apa yang dibacanya itu.

"Siapa punya kerja ni?" Ehsan menggaru kepalanya.

Masing-masing memandang Najmi yang tersenyum-senyum kambing mengintai sesuatu di luar. Daripada senyuman miang Najmi, mereka semua sudah boleh mengagak siapa punya kerja. Fikri kemudiannya kelihatan melangkah masuk ke dalam dewan dengan tergesa-gesa.

"Ada upacara apa ni?" tanya Fiq kepada Rezza yang dari tadi duduk mendiamkan diri merenung kertas di hadapannya. Dia kemudiannya menghulur beberapa helai kertas kepada Fiq yang baru sampai itu. Tidak sanggup dia hendak berkata-kata melainkan menyuruh Fiq membacanya sendiri.

Helaian kertas yang dihulurkan Rezza disambutnya dengan tanda tanya. Tanpa bertanya lagi, dia membacanya. Hampir sesak nafasnya apabila melihat angka terakhir pada helaian terakhir kertas tersebut. Beg sekolah yang dipegangnya secara automatik terlepas daripada pegangannya.

"Seratus orang datang temu duga?" ujar Fiq separuh menjerit.

Kesemua mereka langsung tidak berani hendak berkata apa-apa selain memberi isyarat menunjuk ke arah Najmi.

"Najmi!"

Alamak. Najmi yang sedang usyar awek-awek cantik yang beratur di luar sana tersentak tiba-tiba.

"Aku tak kira, kau kena lari seratus pusingan hari ni juga!" ujar Fiq yang mula naik darah.

Mampus. Najmi menggeleng.

"The Perfect Guy dah marah." Sedaya upaya Zaki cuba menahan gelaknya.

Fiq memang terkenal dengan gelaran The Perfect Guy disebabkan Fiq memang nampak sempurna di mata semua orang termasuklah ahli Kelab Bola Sepak yang mengenalinya. Selain perangainya yang cool, dia juga satu-satunya lelaki yang bersopan santun apabila bercakap atau melakukan sesuatu kerja.

Anak seorang ahli politik yang agak terkenal di Dewan Parlimen, tapi statusnya hanya diketahui ahli-ahli rasmi sahaja. Seorang yang low profile. Mudah didampingi tidak kira lelaki ataupun perempuan. Aktif dalam aktiviti sekolah terutama sekali bola sepak dan Kelab Muzik. Pendek kata, Fiq memang sempurna dari segala aspek kecuali cinta. Itu memang gagal!

"Jadi, macam mana ni?" tanya Zaki kebuntuan.

Seratus orang bukannya sikit. Mungkin sampai pagi esok pun takkan habis mereka menemu bual seorang demi seorang. Mencari pengurus bukannya boleh pakai tunjuk saja, apatah lagi pengurus akan handle bukan saja ahli rasmi, tapi ahli biasa yang seramai 50 orang. Yang menjadi masalah sekarang ini, semua yang datang untuk temu duga kebanyakannya adalah perempuan. Kalau lelaki, mereka ini terdiri daripada kumpulan nyah.

"Nak buat pilihan? Tapi, tak boleh juga, kita tak tahu yang mereka semua ni datang memang nak join kelab bola sepak atau nak menggatal." Farizat menarik nafas lemah. Mesti sakit kepala menemu duga pelajar-pelajar perempuan itu nanti.

Masing-masing memandang Rezza yang masih senyap berfikir. Hati dan perasaan mereka yang menunggu di luar sana perlu dijaga demi nama baik Kelab Bola Sepak. Rezza tidak mahu nama baik kelab tercalar disebabkan hal sebegini. Dia kemudiannya menjeling Nazrul yang sedap tidur di sebelahnya. Kemudian dia tersenyum.

"Kenapa?" soal Fiq hairan.

Kemudian masing-masing menjeling Nazrul yang sedang tidur nyenyak di sebelah Rezza. Serentak dengan itu masing-masing dapat membaca apa yang difikirkan oleh Rezza. Mungkin hanya itu sahaja yang boleh mereka fikirkan sekarang.


Mulut Nurul ternganga hampir dua minit apabila sampai saja ke dewan sukan. Dia melihat sekumpulan pelajar perempuan dan sekumpulan lelaki yang boleh diklasifikasikan dalam golongan nyah beratur panjang dari pintu masuk hinggalah ke kantin. Adalah lebih kurang satu kilometer kalau diukur. Dia beratur di hujung sekali. Orang terakhir.

"Terima kasih kepada Sofea." Nurul tersenyum geram.

Dia tidak sangka begitu ramai yang bercita-cita mahu jadi pengurus Kelab Bola Sepak untuk menggatal. Apatah lagi kebanyakan yang datang temu duga spesies minah cinta. Kalau bukan minah cinta pun minah angau. Gedik. Siap bermekap lagi.

"Memang malang betul." Nurul sekali lagi mengeluh lemah.

Hampir dua jam berlalu, temu duga berjalan dengan lancar. Malah, lagi lancar. Baru beberapa saat seorang pelajar masuk untuk ditemu duga, tapi keluar tidak sampai lima minit. Pendek kata panel temu duga hanya memerlukan lima minit atau kurang daripada itu untuk menemu duga ke semua pelajar yang datang. Tapi, yang peliknya, semua yang masuk dengan muka ceria keluar dengan muka masam. Tidak puas hati.

Lama Nurul menunggu akhirnya sampai juga gilirannya. Apabila Nurul melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya dengan mata kuyu mereka. Nampak sangat mereka penat menemu duga hampir seratus orang.

Satu per satu wajah-wajah yang menyerikan Kelab Bola Sepak dipandang Nurul. Rezza, selaku kapten pasukan masih tetap maintain duduk tegak. Begitu juga dengan Fiq yang terkenal dengan sifat pendiamnya. Zaki dan Farizat sudah menguap beberapa kali. Hendak saja dia pelangkung budak dua ekor itu. Matanya tertumpu pada seorang pelajar lelaki yang sedang asyik tidur di sebelah Rezza.

Itu memang dah melampau! Aku penat-penat tunggu kat luar sampai sakit kaki berdiri, dia boleh tidur pula. Darah Nurul mulai menyirap. Tapi sebaik sahaja dia memandang Fiq yang menghadiahkan senyuman manis, entah kenapa hatinya cair.

"Nurul Izzati." Rezza mula berbicara memandang gadis yang duduk di hadapannya itu. "Tak sangka, kita boleh berjumpa lagi," tambahnya.

Dahi Nurul berkerut. Rezza bercakap sesuatu yang dia tidak faham maksudnya.

Berjumpa sekali lagi? Kepalanya ligat berfikir. Takkan Rezza tu…

"Kita pernah berjumpa ke?" tanya Nurul pula.

Kalaulah Rezza yang selamatkannya… Jadi, tidak sia-sialah dia berdiri lama di luar tadi. Selepas ini, kalau Rezza mengaku, dia akan mengucapkan terima kasih dan pergi meninggalkan dewan. Habis cerita!

"Ops… kalau nak tanya soal peribadi sila buat selepas waktu ini ya…" Zaki bersuara.

Nurul menjeling tajam. Kacau daun betul!

"Okey." Rezza menarik nafas lemah. Membetulkan kedudukannya. "Nurul Izzati…"

"Panggil Nurul saja," ujar Nurul.

Rezza mengangguk.

"Minta maaf sebab tunggu lama. Kami pun tak sangka ramai pula yang datang untuk temu duga. Kami selaku AJK tertinggi Kelab Bola Sepak hendak mengucapkan selamat datang pada temu duga hari ni dan seperti mana yang Nurul tahu kami hendak mencari seseorang yang berkebolehan untuk mengurus Kelab Bola Sepak. Apa yang kami cari daripada seorang pengurus adalah semangat yang kuat dan tegas sebab semua ahli-ahli kami ni banyak ragam dan tugas pengurus adalah memastikan segalanya teratur. Tak kira dari segi peralatan padang hinggalah ke kesihatan setiap ahli kelab. Bunyi macam best, tapi percayalah dia orang ni memang memeningkan. Jadi, kami dah buat keputusan, sesiapa dapat lepasi ujian getir ni, kami akan melantiknya sebagai pengurus. Jadi, awak dah sedia?" ujar Rezza panjang lebar seperti yang dikatakan kepada semua yang datang untuk temu duga tadi.

"Dah, tapi sebelum tu, aku cuma nak kata aku tak minat dengan bola sepak," ujar Nurul selamba. Semua mata memandangnya.

"Kami tahu. Semua yang datang sini untuk temu duga bukannya minat dengan bola sepak."

Nurul menghela nafas. Nampaknya tanggapannya salah sama sekali tentang mereka semua. Dia ingatkan mereka semua jenis yang suka berfoya-foya dengan peminat, tapi daripada cara mereka bercakap, nampak mereka semua matang dari usia mereka.

"Jadi, ujiannya?" Nurul bertanya.

Masing-masing tersenyum. Kemudian menjeling Nazrul yang sedap berdengkur.

"Senang saja, kejutkan Putera Katak ni bangun dulu," ujar Rezza tersengih.

"Hah!" Hampir tercabut anak tekak Nurul. "Apa sangkut paut kejutkan dia ni bangun dengan jadi pengurus kelab?" tanya Nurul yang rasa perkara itu tidak logik akal.

"Kami percaya kau takkan faham." Fiq mula berbicara dengan nada mesra. Hampir cair hati Nurul apabila pertama kali mendengar suara Fiq. "Tapi, kami percaya kalau kau terpilih jadi pengurus pasukan, kau akan faham kenapa. Percaya atau tidak, Nazrul sudah tidur sejak awal lagi dan daripada semua yang datang temu duga tadi, tiada sesiapa pun yang dapat mengejutkan Nazrul bangun."

"Hah?" Nurul seakan tidak percaya. Patutlah sejak mula-mula tadi, kebanyakan yang datang temu duga keluar dengan muka yang masam. Ada juga yang tidak puas hati dengan temu duga tersebut. Rupa-rupanya kena kejutkan seseorang yang tidur tidak ingat dunia. Tapi, benarkah lelaki yang tidur itu tidak bangun sejak tadi?

"Salah satu tugas pengurus adalah memastikan semua ahli turun padang untuk sesi latihan terutama sekali ahli-ahli rasmi. Kalau nak kejutkan Nazrul bangun pun tidak boleh buat, kami rasa tidak guna kami lantik seorang pengurus kelab," tambah Rezza memberi penerangan lagi.

Nurul tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia mengangkat kaki keluar dari situ. Tapi, senyuman Fiq membuatkan dia bagaikan hilang kawalan. Sedar sedar saja, dia sudah berada di hadapan Nazrul yang sedang tidur nyenyak itu.

"Err…" Nurul rasa janggal apabila mendapati semua mata memandangnya.

Entahlah! Sama ada dia dipermainkan atau ini sebahagian daripada ujian yang mereka katakan tadi, dia sendiri pun tidak pasti. Yang pastinya, dia sudah terperangkap dan mahu tak mahu, dia harus teruskan juga.

"Hei, bangunlah." Dicuit sedikit bahu Nazrul. Langsung tiada reaksi. Nurul menggaru kepala apabila hampir banyak kali memanggil Nazrul bangun. Pelik. Tidur ke mati ni? Dia memandang mereka yang lain yang masih menunggu.

"Hei, bangunlah!" Nurul menjerit sambil menggoyang-goyangkan bahu Nazrul. Nasib baiklah Nazrul memakai sweater, kalau tidak jangan haraplah dia hendak memegang bahu lelaki yang tidak dikenali.

Sebentar kemudian Nazrul mula menunjukkan dia sudah sedar. Kepalanya di angkat mamai. Matanya terbuka sedikit. Jelas sekali kemerahan pada matanya mungkin kerana mengantuk. Nurul menarik nafas lega.

Akhirnya bangun juga budak ni.

"Hai, darling, cium sikit," ujar Nazrul yang masih mamai.

Dengar saja Nazrul cakap begitu, darah Nurul mula naik mendadak. Tangan kanannya digenggam kuat.

"Tak guna!!!" Sepantas kilat Nurul mengayunkan penumbuk ke muka Nazrul sehingga Nazrul tersungkur ke lantai. Dadanya berombak. Geram. Panas. Marah. Rasa dibodohkan. Semuanya ada.

Kemudian dia memandang Rezza dan yang lain. Mereka semua masih berlagak selamba. Seolah-olah tidak nampak yang dia sudah membelasah Nazrul sehingga tersungkur. Tiba-tiba saja dia diselubungi perasaan pelik.

"Aaa…" Nazrul yang tersungkur di lantai bangun sambil mengeliat membetulkan otot-ototnya. Pipinya yang kena tumbuk tadi digosok-gosok sedikit sebelum duduk di tempatnya semula. Dia tersengih-sengih. "Okey, jom mula temu duga," ujarnya selamba.

Nurul mengerut dahi.

Spesies apa budak ni? Takkan dia tak tahu yang dia baru saja kena tumbuk? Lepas tu boleh kata nak mulakan temu duga. Dia tahu ke aku ni orang terakhir yang ditemu duga? Nurul menggaru tengkuknya. Pelik.

"Err… kenapa?" tanya Nazrul pelik apabila semua kawan-kawannya mendiamkan diri. Dia tertinggal kereta api lagikah?

"Welcome to Football Club, Nurul Izzati," ucap Rezza mengukirkan senyuman lega. Akhirnya dia jumpa juga orangnya.

Nurul tidak tahu hendak kata apa. Benarkah apa yang Rezza cakap tadi? Welcome to Football Club? Adakah itu maknanya dia sekarang dilantik sebagai pengurus Kelab Bola Sepak yang baru? Tapi kenapa? Inilah malangnya… desisnya lemah.


Sofea tidak berhenti ketawa. Terbahak-bahak tawa Sofea selepas Nurul menceritakan pengalaman ditemu duga oleh AJK Kelab Bola Sepak untuk jawatan pengurus petang tadi. Itu pun setelah tidak tahan didesak oleh Sofea yang ingin mengetahui apa yang berlaku di sebalik pemilihan Nurul sebagai pengurus. Selepas saja Nurul menceritakan segalanya, Sofea sudah tidak dapat menahan gelaknya dan dia ketawa dengan kuatnya. Kalah puntianak yang selalu bertenggek di pohon pokok rambutan di belakang rumah. Serta-merta puntianak itu akan letak jawatan, tidak mahu mengilai lagi sebab kecewa ada lagi yang pandai mengilai.

Nurul dari tadi menjeling tajam. Masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Dia masih tidak dapat mencari alasan sebenar kenapa dia dipilih sebagai pengurus sedangkan dia rasa dia tidak membuat dengan betul tadi.

Ah, mereka pun satu, ada ke bagi ujian suruh kejutkan budak lelaki tu bangun tidur? Tak pasal-pasal ayunya hilang dengan menghadiahkan satu tumbukan padu ke pipi pelajar lelaki yang kurang dikenalinya itu.

"Aku tahu… dia orang tu mesti suruh kau bangunkan Nazrul." Sofea berkata dengan nafas tersekat-sekat kerana masih menahan gelak. "Hanya Nazrul saja yang suka tidur dalam kumpulan mereka tu. Dia tu kalau tidur memang dah tak ingat dunia. Lagi satu, kalau Malaysia ni kena bom pun mungkin dia takkan bangun. Pendek kata bila dia dah tidur, tiada sesiapa pun yang dapat bangunkannya selain Rezza. Nampaknya kau juga dah berjaya bangunkan Sleeping Handsome tu," terang Sofea.

"Sleeping Handsome apa? Tidur macam katak puru aje aku tengok. Mulut terbuka, siap berdengkur lagi. Lagi satu, ada ke masa aku kejutkan dia, dia minta aku cium dia. Aku geram sangat, aku tumbuklah dia, tapi budak tu macam tiada perasaan saja." Nurul menarik nafas lemah. Dia teringatkan Nazrul yang menggeliat malas membetulkan otot-ototnya dan menggosok pipinya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Kalau dia dah tidur, dia takkan sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Bom meletup di sebelah dia pun dia gerenti takkan sedar punya. Dia tu memang kuat tidur, tapi yang peliknya dalam kuat tidur, pelajarannya okey. Mungkin dia tu jenis yang genius. Nazrul tu okey. Jangan risau, dia bukan jenis yang suka membuli. Tapi, aku rasa kau tetap akan kena buli."

"Hah! Beranilah dia orang nak buli aku. Aku buli dia orang tu balik. Nanti aku letak ubat julap kat minuman dia orang baru tahu!" ujar Nurul tidak mahu mengaku kalah.

Sofea di sebelahnya sekadar tersengih-sengih.

"Ni kau punya pasallah. Datangkan bala yang tak dijemput. Tak pasal-pasal aku kena jadi pengurus dia orang pula."

"Kalau kau tak suka, lepas beberapa bulan kau letaklah jawatan," jawab Sofea senang.

"Sofea, aku ni memanglah kejam, tapi aku tak suka buat kerja separuh jalan. Kalau tak, aku dah letak jawatan tadi. Tapi aku tak mahu buat kerja separuh jalan. Aku dah dapat jawatan ni dan aku kena berusaha walaupun aku suka ataupun tidak. Aku tak mahu dianggap sebagai pengecut. Walaupun aku tak minat dengan bola sepak, aku tak minat dengan AJK kelab yang gila tu, tapi aku tetap nak teruskan sebab…" Kata-kata Nurul tidak disudahkan. Tiba-tiba dia teringatkan wajah Fiq sedang tersenyum memandangnya.

"Sebab…?" tanya Sofea.

Nurul tersentak. "Sebab… Anggaplah aku nak cari orang yang selamatkan aku tu," jawabnya selamba. Dalam hati, dia hampir menjerit sebab tidak terkantoi dengan Sofea bahawa dia sedang tangkap lentuk dengan Fiq.

"Pelik. Bukan ke kau tak teringin nak cari orang tu?" Sofea menggaru dagunya ala-ala orang sedang berfikir. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kawannya itu.

"Memanglah! Kalau aku tak cari kau akan paksa aku cari jugak. Lebih baik aku cari sampai dapat, lepas tu dunia aku akan kembali aman seperti biasa," jawab Nurul menjeling tajam.

Sofea di sebelahnya tersengih-sengih menahan tawa. Kalau Nurul sudah bercakap memang tiada tapisan langsung. Nasib baiklah dia sudah kenal Nurul sejak dua tahun yang lalu. Bagi sesiapa yang baru kenal Nurul mungkin tidak akan tahan dengan perangai Nurul yang terlampau berterus terang. Kalau Nurul tidak suka, memang Nurul akan cakap tidak suka. Kalau seseorang itu membosankan, Nurul juga akan cakap begitu. Mungkin sebab itulah di sekolah Nurul tidak ramai kawan. Nasib baiklah dia sanggup berkawan dengan Nurul. Baginya, dia lebih suka berkawan dengan orang yang berterus-terang tanpa berselindung daripada berkawan dengan orang yang suka bercakap bukan-bukan di belakang.

"Masa temu duga tu kau dapat cam tak siapa selamatkan kau?" tanya Sofea.

"Seorang pun aku tak dapat cam sebab aku tak nampak wajah lelaki yang selamatkan aku tu. Yang aku nampak jaket rasmi saja dan kat sana tadi semua pakai jaket rasmi kecuali budak yang aku tumbuk tu. Dia saja yang pakai jaket putih. Ada lagi yang tak hadir petang tu sebab ada hal lain. Mungkin esok aku akan jumpa semua pemain rasmi sebab ada mesyuarat penting," terang Nurul.

"Mungkin selepas ini hidup kau akan bertambah sibuk. Tak dapatlah kita pergi dating."

"Kau datinglah dengan boyfriend kau tu."

"Kau ni pun satu, bila masa aku ada boyfriend? Tapi, aku berharap sangat kau kenalkan seseorang daripada ahli rasmi tu kat aku." Sofea mengangkat keningnya sambil tersenyum bermakna.

"Gatal!"

"Memanglah aku gatal. Gatal nak ada boyfriend. Aku tengok semua kawan-kawan kita kat kelas tu dah ada balak. Aku ni kayu balak pun tiada. Aku tak nak kena gosip dengan kau sebagai girlfriend kau sebab asyik bersama kau aje."

"Gila! Tapi… aku rasa ada seorang yang sesuai dengan kau," ujar Nurul.

Serta-merta mata Sofea bercahaya.

"Nazrul. Dia tu sesuai dengan kau."

"Kalau si Nazrul tu baik tak payah. Orang macam dia tu berlambak kat Pasar Selayang. Dahlah asyik tidur 24 jam. Nanti masa pergi dating, bukannya dating… dia tidur lagi adalah."

Kali ini Nurul pula ketawa terbahak-bahak. Tidak dapat dia bayangkan Sofea pergi dating dengan Nazrul.

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my