PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 10

10

NURUL memandang sekeliling kawasan SMK Setiawasih. Kagum. Tidak sangka baru dua tahun dia meninggalkan sekolah tersebut, banyak perubahan ketara yang dapat dilihatnya. Antaranya, semua bangunan sekolah sudah dicat warna biru cair berbanding warna putih dahulu. Itu pun seingat dia, warna bangunan seakan pudar, malah ada yang ditumbuhi lumut.

Jika dahulu, Taman Botani yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar dipenuhi dengan rumput-rumput panjang. Tapi, kini sudah dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bunga dan di tengahnya terdapat tiga buah pondok yang lengkap dengan kerusi meja. Terdapat beberapa orang pelajar sedang berbual sambil mengulang kaji pelajaran di bawah pondok tersebut.

Sedang asyik dia memerhati keadaan sekeliling yang sudah berubah, baru dia perasan, Nazrul yang datang bersama dengannya tadi sudah menghilangkan diri tanpa dikesan. Sedar-sedar saja, dia kini berdiri seorang diri di situ. Malas dia hendak mencari lelaki itu. Buat sakit hati adalah. Hari ni saja, sudah berapa kali Nazrul membuatnya bengang tahap gaban. Agaknya kalaulah Gaban masih wujud lagi sampai hari ni, Gaban pun takut dengannya.
Begitu lama rasanya dia tidak menjejak kaki ke situ. Walaupun tempat tinggalnya tidak jauh dari sekolah lamanya itu, tapi dia jarang ke situ disebabkan tiada apa-apa yang menarik. Kawan-kawan? Huh, di sini dia langsung tidak kenal siapa kawannya. Tapi, yang paling ramai adalah musuh yang dengki dengan kewujudannya.
Nak kata dia cantik? Tak juga. Wajahnya biasa saja. Tidak putih, tidaklah hitam sangat, ada kedua-dua mata, satu hidung dan satu mulut. Semuanya lengkap. Lagipun di sekolahnya itu terdapat ramai pelajar perempuan yang cantik-cantik belaka. Malah, ada lelaki yang sanggup bergaduh dengan lelaki lain untuk dapatkan perempuan yang mereka idam-idamkan.

Diana. Nama pelajar yang popular di kalangan pelajar lelaki. Orangnya memang cantik, malah pandai bergaya walaupun dia datang daripada keluarga yang sederhana. Tidak kaya dan tidak miskin. Cita-cita Diana hanyalah satu, iaitu berkahwin dengan lelaki kaya. Dan, lelaki yang kaya yang menjadi mangsa buruan Diana adalah Hazwan.

Hazwan. Entah bagaimana keadaan lelaki yang dia pernah puja dahulu. Adakah dia masih bersama dengan perempuan dua alam seperti Diana itu? Adakah Hazwan pernah cuba untuk mencarinya memandangkan dia telah berpindah sekolah dengan tergesa-gesa tanpa sempat memberitahu guru-gurunya.

Dulu selepas sahaja berpindah di rumah barunya, dia asyik berangan bahawa Hazwan akan datang mencarinya semula, tapi betul kata orang, angan-angan cinta hanya tinggal angan-angan. Ia tidak akan jadi nyata.

"Hisy, apa aku asyik fikir ni…" Lama dia mengelamun. Sedar-sedar saja dia sudah berada di kaki lima yang menempatkan beberapa papan kenyataan yang telah dibahagikan dengan ruangan-ruangan khas. Cuma bezanya, sekolah itu tiada ruangan khas untuk Carta Prince Charming seperti di sekolahnya.

Jam di tangan dipandangnya. Beberapa minit lagi jam 3.00 petang. Beberapa minit lagi juga perlawanan persahabatan antara Sekolah Haji Harun dengan Sekolah Haji Mansur akan bermula.
Baru sahaja dia hendak melangkah pergi ke padang, telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa berfikir panjang, dia terus menjawab panggilan tersebut.
"Hoi, mak cik!" sapa suara di hujung talian.

Nazrul! jerit hati Nurul. Siapa yang tidak kenal dengan suara dan gaya pertuturan yang sentiasa menyakitkan hati itu. Meskipun dalam telefon, tapi Nurul masih lagi boleh mengecam suara Nazrul.
"Mak cik, cepatlah. Perlawanan dah nak mula ni."

"Aku nak pergilah ni. Lagi satu, aku bukan mak cik kau!"

"Cepatlah! Membebel aje."

"Aku nak pergilah ni. Tapi, macam mana kau tahu nombor handset aku ni?" tanya Nurul pelik. Setahunya dia belum lagi memberi nombor telefonnya kepada mana-mana ahli rasmi bola sepak lagi.

"Yalah… Agaknya pergi cari pakwe," balas Nazrul.

"Banyaklah kau punya pakwe!" Terus Nurul memcepatkan langkah. Selagi dia tidak sampai di sana, selagi itulah hatinya panas. Kalaulah dia boleh bertukar jadi Ultraman, sudah lama dia fire Nazrul tanpa belas kasihan.

"Habis tu kenapa tak sampai lagi?"

"Aku tengah jalan nak pergi sanalah ni!" marah Nurul sehinggakan dia hampir terlanggar seseorang. Mujur dia sempat mengelak.
"Sorry," kata pelajar lelaki yang hampir dilanggar Nurul tadi.

Langkah Nurul yang terus mara tanpa meminta maaf tadi terhenti sebaik sahaja mendengar suara pelajar lelaki itu. Rasanya suara tadi seperti pernah dia dengari sebelum ini. Dia segera memalingkan kepalanya, melihat gerangan orangnya dan tiba-tiba tubuhnya jadi kaget.

Hazwan! jerit Nurul dalam hati apabila memandang lelaki yang hampir berlanggar dengannya tadi.

Hazwan turut memandang Nurul. Lama. Barangkali cuba mengingati gadis yang berdiri di hadapannya itu. Mungkin ingat dan mungkin tidak ingat.

"Kau ni mengurat pakwe ke?" Suara Nazrul jelas kedengaran daripada telefon bimbitnya. Terus membuatkan Nurul tersedar daripada lamunannya.

"Yalah! Aku on day way sekarang ni." Terus Nurul berlalu mengangkat kaki tanpa mempedulikan Hazwan. Entah lelaki itu kenal dia lagi atau tidak, dia tidak tahu. Tapi, buat masa sekarang, serang Nazrul lagi penting!

Mujurlah dia mempunya ingatan yang bagus tentang kedudukan padang sekolah lamanya itu. Tidaklah dia terkial-kial mencari jalan hendak ke sana. Dari jauh, dia sudah dapat mengesan kedudukan Nazrul. Pantas kakinya mengorak langkah mendekati Nazrul.

"Mana kau dapat nombor telefon aku?" Terus Nurul serang sebaik sahaja dia merapati Nazrul yang sedang mencatat sesuatu di buku nota. Namun, hatinya sempat pula berterima kasih kepada Nazrul yang memilih untuk duduk di bawah pokok angsana dan bebas dari matahari terik. Kalau ada payung, dia tak kisah sangat kalau disuruh duduk di tengah panas. Payung… Ah! Sakitkan hati saja!

"Bukan ke kau tulis dalam surat tu," jawab Nazrul selamba.

"Surat? Surat apa?" tanya Nurul lagi.

Seingat Nurul, dia tidak pernah tulis surat… Surat? Dengan pantas Nurul memandang Nazrul yang masih bersikap selamba. "Maksud kau surat..."

Tanpa memandang Nurul, Nazrul mengangguk.

"Kau baca surat tu?"

"Mak cik, boleh tak diam sikit?" tegur Nazrul sambil menjeling tajam. Kemudian, dia menyambung menulis sesuatu di buku notanya.

Nurul terus menarik muka masam. Sakit hati betul bercakap dengan Nazrul ni. Memang lelaki yang langsung tiada perasaan.

Sebentar kemudian Nurul dikejutkan dengan sorakan meriah sekumpulan pelajar perempuan yang baru sahaja turun dari bas sekolah yang sudah lama diparkir di depan pintu pagar padang sekolah itu. Beberapa orang lelaki yang lengkap berpakaian sukan berjersi merah putih turun dari bas tersebut. Saat itulah para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada kaum perempuan menjerit bagaikan disampuk hantu apabila pasukan Haji Mansur turun padang. Belum pernah lagi dia melihat situasi begitu apabila perlawanan bola sepak berlangsung.

Kalau orang ramai datang dengan berpakaian sukan pasukan kegilaan masing-masing, mungkin dia tidak hairan sangat. Tapi, kebanyakan mereka yang datang pada hari ini terdiri daripada anak-anak gadis yang berpakaian seksi dengan berbedak macam opera Cina. Memakai gincu merah membara seperti sedang bertanding dengan Pak Cik McDonald’s, gincu siapa yang paling cantik dan paling merah.

Hampir terkena culture shock dengan mereka semua itu. Nurul tahu, pelajar lelaki SMK Semarak memang hot sehinggakan ada yang sanggup mati demi memiliki hati mereka. Kacak bukan alasan utama mereka hot, tapi disebabkan semua orang tahu semua pelajar yang belajar di sekolah itu datang daripada keluarga yang ternama dan berada. Siapa yang tidak cair bila melihat kemewahan mereka.
Ditambah lagi kalau lelaki itu kacak. Huh, ada yang menggelupur bila bertentang mata. Nasib baiklah dia bukan tergolong dalam jenis perempuan yang mudah cair dengan kekacakan atau kekayaan seseorang.

Sorakan mereka jelas kedengaran. Mujurlah Nazrul mengambil tempat jauh dari khemah penonton. Kalau tidak, mungkin selepas pertandingan ini, dia akan jadi pekak selama-lamanya. Terima kasih kepada Nazrul!

"Apa yang kau tahu pasal bola sepak?" tanya Nazrul tiba-tiba. Dia masih lagi menulis sesuatu di buku notanya.

"Bola sepaklah. Pengadil bagi bola, lepas tu, dua pasukan akan berebut bola tu… Emm… macam bodoh pun ada, kan? Hanya sebiji bola dia orang berebut…"

Perlahan-lahan Nazrul memandang Nurul yang acuh tak acuh menjawab soalannya. Disangkakan Nurul sudah faham dengan sukan, itu tapi nampak gayanya kerjanya akan bertambah.

"Kenapa? Salah ke?"

Nazrul melepaskan keluhan berat. Ini masalah berat ni. Seorang pengurus Kelab Bola Sepak langsung tidak tahu apa itu bola sepak. Dia berhenti menulis. Buku nota kembali ditutup dan diletak ke tepi. Kemudian, memandang Nurul di sebelahnya.

Nurul berasa gugup. Ini kali pertama dia bertentangan mata dengan Nazrul dan ini juga pertama kali dia dapat melihat wajah Nazrul secara dekat. Baru dia perasan, rupanya Nazrul memiliki anak mata berwarna coklat.

"Apa tujuan kau apply jadi pengurus?" tanya Nazrul.

"Hah?"

"Kau pekak ke? Apa tujuan kau apply jadi pengurus?"

Nurul terdiam. Sejujurnya dia pun tidak tahu kenapa dia jadi pengurus Kelab Bola Sepak. Sofea yang mendaftarkan namanya untuk temu duga pengurus Kelab Bola Sepak. Walaupun dia tidak suka, tapi dia pergi juga dan akhirnya terpilih. Dia boleh letak jawatan, tapi entah kenapa dia masih lagi meneruskan jawatan pengurus itu. Adakah dia berharap dapat berjumpa dengan orang yang menyelamatkannya tempoh hari?

"Atau kau ada agenda lain?"

Nurul berpaling memandang Nazrul.

"Memang ada agenda lain? Kalau kau fikir dengan masuk ke kelab kami kau boleh cari calon suami, lupakan sajalah."

"Kau ingat aku ni terdesak sangat ke nak kahwin sekarang?" kata Nurul dengan nada yang tinggi. Menyirap darahnya bila mendengar Nazrul menuduhnya sedemikian rupa. Tak sangka, orang yang suka buat hal sendiri seperti Nazrul boleh berkata begitu. Walaupun selama ini Hayrul sering mempertikaikan kewujudannya sebagai pengurus kelab, tapi dia tidak pernah rasa tersentap dengan kata-kata Hayrul.

"Habis tu kenapa kau apply jadi pengurus?"

Nurul hanya senyap. Wajarkah dia memberitahu hal yang sebenarnya? Apa yang terjadi pada dirinya tempoh hari dan menyebabkan dia hampir kehilangan nyawa, tapi mujurlah ada seseorang yang baik hati menyelamatkannya. Dan, orang itu memakai jaket rasmi Kelab Bola Sepak.

"Tak apa… aku pun tak berminat nak tahu."

Nurul kembali melemparkan pandangan ke arah padang. Walaupun dia berasa lega, Nazrul menamatkan perbualan itu, tapi dia masih lagi berasa tidak sedap hati. Dia cuba buang perasaan itu jauh-jauh buat seketika dengan mengalih pandangan ke arah padang.

Hazwan tak main? Hati Nurul bertanya apabila matanya langsung tidak melihat kelibat Hazwan yang sepatutnya beraksi di padang.

Dua pasukan yang akan bertanding telah beratur berhadapan dengan pasukan lawan. SMK Haji Harun yang berjersi hijau, manakala SMK Haji Mansur berjersi merah putih. Rasanya ini pertama kali dia menonton perlawanan bola sepak selain menontonnya di televisyen.

Dari jauh dia melihat pengadil yang memakai baju dan seluar hitam memberi sedikit penerangan sebelum sekeping duit siling dilambungkan. Setahunya, duit siling itu adalah penentu di mana gawang gol dan pasukan manakah yang mendapat bola di awal perlawanan. Ia lebih kurang macam bola jaring juga.

"Berapa pemain dalam bola sepak?" tanya Nazrul bersuara.

"Sebelas orang. Sepuluh orang pemain dan seorang penjaga gol. Tapi, untuk melayakkan sesebuah pasukan tu ke sesebuah perlawanan, mereka kena ada 15 nama pemain," terang Nurul.
Nazrul hanya mengangguk. "Fiq yang ajar?"

"Dia tak ajar, tapi dia bagi buku catatan dia untuk tambahkan pengetahuan tentang sukan ni," kata Nurul selamba.

Wisel dibunyikan tidak lama selepas itu, menandakan perlawanan telah pun bermula. Sebaik sahaja permain mula menggelecek bola, satu sorakan kuat bergema dengan pekikan suara gadis-gadis sorak di bawah khemah.

Pelik betul dengan mereka semua yang terjerit-jerit itu. Kalau kipas angin susah mati sekalipun janganlah membazir suara terpekik-pekik macam langsuir kehilangan langsir rumah. Satu keluhan berat kedengaran daripada Nurul. Bosan. Macam manalah lelaki boleh minat sangat dengan perlawanan bola sepak. Sekali-sekala dia akan menjeling Nazrul yang memerhati perlawanan tersebut tanpa berkelip.

Ini pertama kali juga dia melihat Nazrul sedar. Selalunya bila dia bertemu dengan Nazrul, pasti lelaki itu sedang tidur. Tidur pula macam tak ingat dunia. Siap berdengkur lagi. Tapi, bila orang ajak pergi makan, terus tersedar. Lagi-lagi kalau Rezza yang mengajak.

"Kau tulis apa tu?" tanya Nurul hairan. Pelik betul dengan Nazrul ni, takkanlah mengarang karangan untuk kerja sekolah bahasa Melayu.

"Formasi dia oranglah."

"Formasi?"

"Teknik atau kedudukan pemain di padang," jawab Nazrul.

Nurul berkerut dahi. Tidak faham apa yang diberitahu Nurul tadi.

"Okey, kalau nak menang sesuatu perlawanan, kita tak boleh bergantung pada tenaga saja. Ya, orang nampak memang kita kejar bola, sepak bola ke sana ke mari, tapi sebenarnya ada teknik yang terselindung di dalam perlawanan tu. Macam pasukan SMK Haji Mansur, dia orang menggunakan formasi 4-4-2."

"Nombor apa tu? Nombor ekor ke?"

"Banyaklah kau punya nombor ekor."

"Teka pun salah ke?"

"Memanglah tak salah, tapi kau tanya soalan yang tak logik. Kau ingat ni judi ke?"

"Tapi ada jugak orang main judi bola."

"Memanglah tapi 4-4-2 tu bukannya judi! Tu formasi atau teknik perlawanan semasa di padang. Tulah, lain kali masa aku terangkan jangan nak menyampuk. Dahlah Cikgu Majid tu dah serahkan kau pada aku, kalau kau tak tahu apa-apa pasal semua ni, aku juga yang kena tau!"
Nurul berkerut dahi. Cikgu Majid serahkan dia pada Nazrul? Untuk apa? Untuk jaganya atau jaga Nazrul yang asyik tidur sepanjang masa? Sesedap hati saja Cikgu Majid nak serahkannya pada orang lain. Ingat dia tidak reti jaga diri sendiri ke?

"4-4-2 mewakili pemain di padang. Nombor di hadapan adalah jumlah pemain pertahanan. Nombor tengah adalah jumlah permain tengah atau tengah kiri. Dan nombor terakhir adalah bilangan penyerang yang digunakan di padang. Selain 4-4-2 ada banyak lagi teknik lain. Selalunya teknik ni tidak akan kekal hingga akhir perlawan. Ia akan berubah mengikut strategi lawan dan selalunya pengurus atau jurulatih yang akan memberi arahan teknik apakah yang akan digunakan semasa di padang nanti. Faham?" terang Nazrul.

"Err… sikit-sikit."

"Balik ni buat research pasal bola sepak. Aku rasa kat Internet berlambak pasal teknik bola sepak. Kau bacalah kalau kau tak faham. Tapi, aku mintak sangat kau baca sebab kami perlukan pengurus yang arif dengan bola sepak dan bukannya arif dengan menulis surat cinta."

Nurul menjeling tajam. Ada juga yang hendak kena hentak dengan failnya pula nanti. Tak habis-habis nak memerlinya dengan surat cinta.
"Tahulah…"

Nurul kembali memandang pertandingan yang sedang berlangsung di tengah padang. "Kenapa kita perlu jadi pengintip? Aku tengok perlawanan ni macam perlawanan biasa saja."

"Kau tengok memang biasa, tapi lihatlah nanti. Sekolah Haji Mansur akan menjaringkan gol."

Tidak lama selepas Nazrul berkata, kedengaran para penyokong SMK Haji Mansur bersorak kemenangan apabila salah seorang penyerang mereka menjaringkan gol pertama pada minit ke 15 perlawanan.

"Kau ni ahli nujum ke?" Nurul bertanya seakan tidak percaya.

"Itu dinamakan analisis dalam perlawanan. Kau ingat main bola ni, hanya main kat tengah padang ke? Kalau dia orang pakai strategi, kita kena balas balik dengan analisis. Cari kelemahan dia orang, cari ruang kosong dan yang paling penting hapuskan strategi dia orang tu. Itulah sebabnya kita perlu jadi pengintip hari ni," terang Nazrul.

"Hah? Macam tu ke? Aku ingatkan main redah aje. Tapi, macam mana kau tahu?"

"Sebab aku daripada keturunan ahli nujum."

Serentak itu Nurul menarik muka. Bila masa dia mula serius, Nazrul pula buat lawak haiwan.

"Tugas kau, cuba perhatikan pemain nombor sembilan dan sepuluh tu. Tengok saja pergerakan dia orang dan guna otak untuk fikir," ujar Nazrul sebelum menutup buku notanya dan disimpan ke dalam beg sekolahnya. "Aku nak pergi tandas kejap. Kau jangan menggatal nak mengurat lelaki lain. Ingat tugas kau."

"Tahulah! Kau pula jangan nak tidur dalam tandas tu."

"Kalau aku nak tidur, aku takkan pilih tandaslah untuk landing. Tahulah aku cari tempat yang strategik sikit nak landing," balas Nazrul pula.

"Jangan lama-lama! Tu mesti sah nak tidurlah tu," ujar Nurul separuh menjerit.

Nazrul buat pekak saja. Langkah kaki diatur laju. Sebaik sahaja dia melepasi pintu pagar sekolah tersebut, dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Butang telefon bimbit ditekan-tekan mencari nama Rezza. Tanpa membuang masa, dia terus menelefon Rezza, kawan karibnya itu.

"Rezza, tolong aku…" ujarnya sebaik sahaja panggilan disambut oleh Rezza.

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my