PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 5

5

"SO sweet…" Sofea separuh menjerit di kamar tidurnya sebaik sahaja Nurul menceritakan kejadian petang tadi.

Mana boleh Nurul tidak bercerita pada Sofea. Sofea seperti ahli nujum, tahu sahaja dia mesti ada cerita-cerita terkini yang perlu dikongsi bersama. Dia pula sememangnya tidak boleh menahan dirinya daripada menceritakan segalanya kepada Sofea. Mungkin dia dilahirkan untuk bercerita tentang dirinya kepada Sofea agaknya.

"Sweet apa kebendanya! Aku hampir hilang nyawa nak kena langgar, kau boleh kata sweet? Atau, kau memang bercita-cita kereta tu bercium dengan aku?" balas Nurul mencebik. Punyalah bersemangat dia bercerita tentang kejadian hampir kena langgar siang tadi, alih-alih Sofea seperti suka pula dia kena langgar.

"Sweet tu aku tujukan kepada Fiq yang selamatkan kaulah! Lupakan tentang kereta yang hampir tercium kau tu. Tapi, walau bagaimanapun kau tetap kena berterima kasih dengan pemandu kereta tu sebab kalau tak kerana dia, mungkin kau takkan mengalami bagaimana rasanya jadi heroin dalam cerita cinta."

Sofea sudah mula merepek tidak tentu pasal.

"Kau memang nak aku bercium dengan kereta tu, kan? Cakap sajalah!" Nurul menjeling tajam.

Tapi, ada benar juga cakap Sofea tadi, mungkin dia patut berterima kasih dengan pemandu kereta yang hampir melanggarnya siang tadi. Kalau tidak kerana kecuaian pemandu itu, mungkin dia tidak akan mengalami satu perasaan yang sangat indah. Tapi… dia hanya akan lakukan apabila dia tidak normal. Sekarang, dia normal! Jadi, mesti menjadi senormal yang mungkin.

"Relakslah… Kau tahu tak, ramai perempuan sekolah kita tu tergila-gilakan Fiq. Ada yang nak bercakap dengan Fiq pun payah, apatah lagi nak berjalan berdua-duaan dengan Fiq atau bersentuh tangan dengan Fiq. Tapi, kau dengan mudah saja boleh buat semua tu dalam sekelip mata," kata Sofea lagi cuba mengagung-agungkan Fiq.

Nurul tahu semuanya. Dia juga tahu Fiq jenis yang sukar ditangkap. Orangnya memang kacak dan mempunyai pakej yang lengkap untuk dijadikan pasangan setiap perempuan. Tapi, dia tidak menggunakan semua itu untuk berfoya-foya dengan perempuan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki di sekolahnya. Malah, selama dia bersekolah di situ, dia memang tidak pernah mendengar desas-desus Fiq dengan mana-mana perempuan kecuali pelajar-pelajar yang gedik mengaku bahawa Fiq adalah teman lelakinya dengan alasan, Fiq rapat dengan mereka.

Pada masa itu dia memang tidak ambil pusing dengan segala yang terjadi di sekolah. Baginya, gosip-gosip cinta hanyalah membuang masa sahaja. Waktu sekolah begini sepatutnya menimba ilmu dan mencipta kenangan manis untuk memori masa depan. Nanti, asyik sibuk bercinta, pelajaran ke mana, kenangan manis untuk dicipta hilang macam itu sahaja.

"Kalaulah aku ada masa tu, mesti aku cemburu gila!" kata Sofea lagi dengan mata yang bersinar-sinar.

"Tak payahlah kau nak cemburu dengan aku yang semestinya tiada apa-apa hubungan dengan Fiq."

"Aku terfikirlah… Aku rasa aku patut koyak Carta Prince Charming tu!"

"Sofea, berapa kali aku cakap, apa yang berlaku ni tak ada kena-mengena dengan Carta Prince Charming atau sumpahan puteri yang mengarut tu. Semua ni nasib saja. Allah dah tentukan nasib kita, bukannya Carta Prince Charming tu," tegas Nurul. Mungkin dia patut bakar Carta Prince Charming itu lain kali.

"Yalah tapi cubalah kau fikir, semua ni bermula selepas kau koyak Carta Prince Charming tu. Kalau kau tak koyak, aku rasa hidup kau aman damai agaknya."

"Sofea, cubalah kau fikir… semua ni bermula selepas kau pandai-pandai letak nama aku dalam senarai yang perlu hadiri temu duga untuk jawatan pengurus Kelab Bola Sepak. Dah lupa?" Nurul menjeling tajam.

Sofea tersenyum meleret.

"Kira kau kena ucapkan terima kasih pada akulah ya sebab aku melakonkan watak pembantu dengan berkesan sekali. Dan, sebagai balasannya, kenalkan aku pada Rezza atau Fiq," ujar Sofea dengan senyuman yang dibuat-buat.

"Ah, barulah aku tahu kenapa kau beria-ia sangat letak nama aku sebagai calon jawatan tu. Rupanya ada udang di sebalik batu. Maaf, sayang, aku takkan sesekali tolong kau dalam hal ini. Kalau kau nak berkenalan dengan dia orang berdua, gunakan sihir cinta kau sendiri."

"Cis, tak mengapa. Kau ingat pelakon pembantu tak diberi perhatian ke? Suatu hari nanti aku akan pastikan Rezza atau Fiq berada dalam genggaman aku."

"Mungkin aku patut bagi warning pada mereka berdua!"


"Nurul, kan?" tegur seorang pelajar senior.

Nurul mengangguk tanpa teragak-agak. Memang dalam kelasnya, hanya dia sahaja yang bernama Nurul. Tapi pelik juga, awal-awal pagi lagi dia dikejutkan dengan kedatangan seorang pelajar perempuan senior yang hanya dikenalinya dengan nama Kak Aiza.

"Kenapa?" tanya Nurul hairan. Mana tidaknya, kalau ketua pengawas perempuan sudah mencarinya, pasti ada kesilapan yang sudah dia lakukan, tapi apa? Seingatnya, selama dia bersekolah di situ, dia tidak pernah melakukan kerja-kerja keganasan yang merosakkan harta benda awam atau mengores hati orang awam, terutamanya melanggar peraturan sekolah. Oh, lupa… Ada! Carta Prince Charming!

Tapi, takkanlah perbuatannya yang mengoyak Carta Prince Charming, dia akan dikenakan tindakan tatatertib? Gila apa? Mana ada undang-undang macam tu. Dalam buku undang-undang sekolah pun tiada tercatit satu pun tentang Carta Prince Charming.

"Akak nak minta tolong sangat-sangat ni," kata Kak Aiza seperti cacing kepanasan.

Dengar saja Kak Aiza ingin meminta tolong, Nurul berasa lega. Namun, perasaan itu hanya singgah sebentar sahaja sebab dia mula terfikir pertolongan yang bukan-bukan. Contohnya, tolong minta maaf dengan peminat-peminat Carta Prince Charming secara terbuka sebab mereka sedang melancarkan mogok besar-besaran. Ah, ada ke?

"Tolong apa?" tanya Nurul malas hendak fikir yang selanjutnya.

"Akak nak minta tolong sangat-sangat. Akak tak tahu nak buat macam mana lagi dah ni. Dah bermacam-macam cara dah kami lakukan, tapi tak berjaya juga."

Nurul menggaru kepala walaupun dia memakai tudung. Entah apa kena dengan ketua pengawas perempuan ni yang tiba-tiba minta tolong dengan cara mendayu-dayu. Seingatnya, sumbangannya dalam aktiviti sekolah memang dikatakan zero. Dan, pihak sekolah pula tidak pernah memandangnya sebagai pelajar yang hebat.

"Nak tolong apa ni?" tanya Nurul yang tidak boleh bersabar lagi.

"Tolong kejutkan Nazrul bangun," pantas mulut Kak Aiza berkata.

"Hah?!" Hampir terjerit Nurul mendengarnya.


Langkah Nurul pantas mengekori langkah Kak Aiza. Jari-jemarinya diletup-letupkan sambil cuba menahan marah. Kalaulah tidak kerana Kak Aiza yang merayu-rayu tadi, memang dia tidak akan berganjak.

"Tolonglah, Nurul, Cikgu Rosli dah mengamuk kat kelas tu. Semua benda dia dah baling kat Nazrul, tapi dia tu macam tak ada perasaan. Kami semua pun dah puas cuba kejutkan dia, tendang meja dia, tendang kerusi dia, tapi dia tak bangun juga. Akak pun tak tahu macam manalah dia boleh tidur dengan lena walaupun teruk kami kerjakannya," ujar Kak Aiza sambil menggeleng.

"Habis tu, selama ni siapa yang kejutkan dia bangun?" tanya Nurul dalam situasi hendak percaya atau tidak. Mana tidaknya, ada ke orang tidur macam mayat bernyawa sampai orang hentam pun tidak bangun-bangun.

"Rezza, tapi Rezza ada kuiz pula hari ni. Cikgu Nora tak akan lepaskan Rezza selagi waktunya belum tamat. Tahulah Cikgu Nora tu memang anti gila dengan Nazrul. Rezza pula terpaksa ikut arahan cikgu dan dia suruh akak cari Nurul. Dia kata Nurul mesti boleh bangunkan Nazrul."

Oh, aku memang boleh bangunkan Putera Katak tu. Tapi, sebelum tu tolong sediakan satu baldi besar air panas yang baru mengelegak. Hati Nurul berkata.

Dengan penjelasan Kak Aiza tadi, Nurul dengan separuh hati akhirnya bersetuju untuk menolong mereka kejutkan Putera Katak. Bila difikir kembali, ada ke manusia macam Nazrul dalam dunia ni?

Tiba sahaja di kelas yang dituju, jantung Nurul tiba-tiba berdegup kencang. Mana tidaknya, apabila dia melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya.

"Ah, dapat jumpa Rezza?"

Masuk-masuk saja, Encik Rosli sudah menyapa mereka berdua dengan suara lantang. Hampir kecut perut Nurul melihat wajah bengis Encik Rosli yang sememangnya bengis. Lagi kecut perutnya apabila Encik Rosli memandangnya.

"Ni minah mana pula yang kamu bawa ni? Bila masa pula Rezza dah bertukar jadi perempuan?"

Walaupun kata-kata Encik Rosli tadi agak melucukan, tapi tiada siapa pun yang berani membuka mulut untuk ketawa. Namun bagi Nurul, ia langsung tidak lucu.

"Cikgu Nora buat kuiz sekarang, jadi Rezza tak dapat keluar kelas. Tapi, dia suruh saya cari Nurul. Rezza kata Nurul boleh tolong kejutkan Nazrul."

"Oh…" Encik Rosli menjeling Nurul dengan tajam. "Jadi, kamu ni teman wanita Nazrullah?" Dengan sesedap mulut sahaja Encik Rosli berkata.

Serentak dengan itu dengar pula suara-suara sumbang yang berbisik-bisik di belakang.

Nurul tidak berkata apa, tapi sebaliknya dia membalas apa yang dilemparkan kepadanya tadi dengan pandangan yang tajam. Kali ini dia tidak peduli yang di hadapannya cikgu ke, pengetua ke, Perdana Menteri ke… Apa yang penting, orang di hadapannya itu sudah meletupkan bom jangka yang sudah lama tidak aktif. Tambah-tambah lagi semasa dia sedang kibarkan bendara Jepun. Memang silap waktulah.

"Dah, dah... Pergi kejutkan si Nazrul tu…" Encik Rosli kelihatan cuba melarikan diri daripada pandangan Nurul.

Dengan satu dengusan marah, Nurul melangkah pantas menghampiri Nazrul yang masih lagi berdengkur dan tidur dengan nyenyak. Di sekitar meja Nazrul terdapat pemadam papan putih yang mungkin dibaling oleh Encik Rosli tadi.

Dia tahu, sekarang dia sedang menjadi perhatian umum, tapi dia langsung tidak pedulikan semua itu selagi tidak bangunkan Putera Katak itu. Entah sejak bilalah pula dia pegang tugas sebagai dayang yang perlu bangunkan Putera Katak?

Pandangannya tajam memandang Nazrul sambil kedua-dua tangannya memeluk tubuh. Apakah yang patut dilakukan sekarang? Hentak kepala Nazrul ke meja atau tumbuk muka Nazrul seperti tempoh hari? Atau, cipta satu bom dan masukkan ke dalam mulut Nazrul? Tak pun bakar rambut Nazrul? Yang manakah lagi kejam?

Tapi, kejam bukan bermaksud pada perbuatan yang kejam sahaja. Banyak lagi caranya dan salah satu daripadanya adalah menggunakan cara yang halus. Tiba-tiba Nurul tersenyum maut.

"Nazrul…" Dengan suara mendayu-dayu Nurul memulakan misinya mengejutkan Putera Katak itu.

Pelajar-pelajar yang melihatnya, sedaya upaya menahan ketawa. Dia juga mendengar bisikan mereka yang menganggap ia bukan satu rancangan yang baik dalam mengejutkan Nazrul bangun.

Tapi, mereka salah! Dengan perlahan-lahan Nazrul kelihatan mula sedarkan diri. Lagi mengejutkan mereka semua apabila dengan satu panggilan yang mendayu-dayu membuatkan Nazrul bangun daripada tidur sambil menggeliat malas. Tapi, Nurul langsung tidak terkejut dengan tersedarnya Nazrul. Sebaliknya dia meletup-letupkan jari-jemarinya. Bersedia untuk pembalasan!

Nazrul yang membetulkan otot-otot lehernya yang lenguh itu tiba-tiba terperasan ada satu aura membunuh di hadapannya. Dengan perlahan dia memandang ke hadapannya. Kelihatan seorang pelajar perempuan yang dikenalinya sedang berdiri di hadapannya sambil memandang dengan pandangan maut. Macam ahli sihir yang kelaparan tulang manusia pun ada.

"Hah!" Seperti ada orang menyergahnya tiba-tiba sebaik sahaja dia melihat wajah Nurul yang bengis memandangnya. Serentak dengan itu juga, kerusi yang dia duduki entah bagaimana terjengket dan dia tersungkur jatuh.

"Aduh…" Nazrul merungut sambil mengurut kepalanya yang terhantuk meja.

Nurul pula tidak ambil pusing. Nasib baiklah dia dapat menahan perasaan marahnya tadi, kalau tidak memang lebam mata Nazrul ditumbuknya.

"Bukannya susah sangat nak kejutkan Putera Katak tu…" kata Nurul sebelum berlalu pergi. Ketika itu, kelas tersebut menjadi riuh. Barangkali mereka tidak percaya Nurul boleh kejutkan Nazrul dengan hanya satu panggilan yang mendayu-dayu.


"Eh, tadi aku dengar yang kau kejutkan Nazrul bangun." Sofea yang entah datang dari mana tiba-tiba menyapa Nurul ketika dia hendak menyuap nasi.

Hampir lemah jantung Nurul apabila disapa begitu, ditambah lagi apabila nama Nazrul disebut-sebut. Sudahlah marahnya pada Nazrul masih belum reda lagi.

"Jahatlah kau. Sepatutnya aku sebagai kawan karib kau mesti tahu terlebih dahulu cerita-cerita terkini dan sensasi ini dan bukannya daripada orang lain." Sofea mencebik bagaikan kanak-kanak yang disakat orang.

"Boleh tak tolong jangan sebut nama dia masa aku tengah makan," ujar Nurul yang tiada mood untuk melayan sesiapa sekarang. Semuanya gara-gara terpaksa bangunkan Nazrul pagi tadi. Malas dia hendak melayan Sofea. Tapi jauh di sudut hatinya, dia kagum dengan tindakan pantas wartawan-wartawan yang tidak bertauliah di sekolahnya yang menyebarkan berita yang tidak berfaedah itu. Jika pihak sekolah mempunyai akhbar harian mereka sendiri mungkin berita ini akan menjadi tajuk besar di dada akhbar. Nurul berjaya mengejutkan Putera Katak bangun daripada tidur!

"Bukankah aku dah kata, kau memang ditakdirkan untuk bersama mereka. Kau memang bertuah Nurul! Berpeluang dikelilingi oleh lelaki yang hebat seperti mereka."

"Kejutkan Putera Katak daripada tidur, kira hebat ke?" Nurul menjeling tajam.

Sofea pula tersengih-sengih.

"Nurul…" panggil Rezza sambil menghampiri Nurul. Di sebelahnya kelihatan Nazrul. Nazrul hanya berdiam diri. Nampak sangat seperti dipaksa oleh Rezza untuk berjumpa dengan Nurul.

"Terima kasih tentang tadi," ucap Rezza terlebih dahulu.

Memang dia serba salah kerana terpaksa menggunakan khidmat Nurul untuk kejutkan kawannya itu bangun daripada tidur. Dia kemudiannya mencuit Nazrul di sebelahnya.

"Err… terima kasih." Dengan tergagap-gagap Nazrul berkata.

Biarpun terkejut dengan ucapan terima kasih daripada Nazrul tadi, Nurul masih lagi tidak berpuas hati. Mungkin sampai tua pun dia akan mengingati peristiwa mengejutkan Putera Katak bangun tidur.

"Hah! Aku harap ini kali pertama dan terakhir aku kena kejutkan kau bangun. Lagi sekali ada orang panggil aku suruh kejutkan kau bangun lagi, aku bangunkan kau dengan air panas!" ugut Nurul tidak puas hati.

Nazrul berbisik sesuatu pada Rezza. Suaranya yang halus membuatkan Nurul tidak dapat mendengar apa yang dibisikannya walaupun jarak mereka hanyalah beberapa meter sahaja. Begitu juga dengan suara Rezza yang menjawab sesuatu dengan berbisik.

"Malangnya, kerja kau adalah kejutkan aku bangun daripada tidur," ujar Nazrul tersengih nakal sebelum mengorak langkah meninggalkan mereka.

"Kenapa aku rasa macam nak siram dia dengan air panas?!"

"Err… Nazrul bergurau saja tu." Rezza cuba menyejukan hati Nurul yang membara.

"Ya. Ya. Nazrul bergurau saja," sokong Sofea sambil matanya tidak berkelip memandang Rezza.

Nurul sekadar menjeling tajam. Itulah Sofea yang sememangnya pantang berhadapan dengan lelaki kacak seperti Rezza. Itu baru Rezza, belum berhadapan dengan Fiq lagi. Mungkin keadaan Sofea lagi teruk dari sekarang dan pada masa itu mungkin juga dia akan simbah Sofea dengan air panas. Mana boleh tahan kalau Sofea tergedik-gedik dengan Fiq. Itu namanya cari nahas!

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my