PRINCE CHARMING

Novel Dari Ratu Bulan

APA KATA HEROIN?

"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"

APA KATA HERO?


"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja"

Prince Charming 7

7

"AKU dah dapatkan jadual latihan yang terbaru daripada Cikgu Majid," kata Nurul sambil melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak.

Kelihatan semua ahli rasmi sudah berada dalam bilik itu. Ada antara mereka sudah berpakaian sukan lengkap sebelum turun ke padang untuk latihan. Ada juga di antara mereka yang masih mengikat tali kasut.

"Mungkin selepas ni kita patut buat peraturan. Perempuan dilarang masuk ke dalam bilik ni. Dahlah main redah saja. Kalaulah kita orang tengah tukar seluar, boleh menjerit satu sekolah," kata Hayrul seolah sedang menyindir Nurul.

"Mungkin lepas ni kita buat peraturan, kalau kau orang nak tukar seluar, sila kunci pintu terlebih dulu," sindir Nurul pula, tetap tidak mahu mengaku kalah.

Masuk hari ini, hampir sebulan Nurul menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Kelab Bola Sepak. Pelbagai rintangan yang ditempuhi olehnya. Dia terpaksa berhadapan dengan macam-macam ragam terutama sekali Hayrul yang sememangnya anti dengan perempuan. Ada saja yang tidak kena dengan apa yang dilakukannya dan dia pula tetap akan mempertahankan dirinya.

Kadangkala peperangan besar akan meletus antara dia dengan Hayrul. Dan, yang terpaksa meleraikan pergaduhan itu adalah Rezza atau Fiq. Tetapi, selalunya mereka berdua akan bekerjasama untuk meleraikan pergaduhan yang berlangsung.

"Memang betul-betul perempuan tak reti malu," ujar Hayrul perlahan.

Walaupun perlahan, tapi telinga Nurul mendengarnya dengan jelas. Serentak dengan itu, Nurul menghempas sebuah buku berkulit tebal di atas meja bersebelahan dengan Nazrul yang sedang tidur nyenyak. Serta-merta Nazrul terjaga daripada tidurnya. Semuanya kaget.

"Aduh, kau orang ni kalau bergaduh mesti aku yang jadi mangsa," keluh Nazrul sambil menguap besar. "Aku nak tidur pun tak boleh!"

Rezza yang duduk di hadapan Nazrul cuba menahan tawa. Tak sia-sia dia memilih Nurul sebagai pengurus kelab. Inilah pengurus idamannya. Boleh bangunkan Putera Katak walau apa cara sekalipun.

"Sekarang bukan waktu untuk tidur," ujar Nurul tegas.

Nazrul segera bangun dan membuka jaketnya sambil mulutnya menyumpah-nyumpah sesuatu.

Nurul hanya menghadiahkan jelingan tajam. Selain Hayrul, Nazrul juga merupakan musuh luar selimut. Mana tidaknya, Nazrul asyik tidur saja sepanjang masa sampai ada satu hari, Nazrul yang selaku penjaga gol boleh tidur di tengah-tengah gawang sewaktu latihan berjalan.

"Menyusahkan kalau ada pengurus ni," kata Hayrul pula sambil membuka pintu lokar untuk menyimpan baju sekolahnya.

Nurul langsung tidak ambil peduli dengan sindiran Hayrul. Dia tahu lelaki itu tidak berpuas hati dengan cara pengurusannya. Tapi, dia tidak peduli. Siapa suruh cari pasal dengannya. Kan dah kena!

Sebentar kemudian Fiq yang sudah siap berpakaian sukan melangkah masuk ke dalam. Nurul menghadiahkan senyuman manis kepada Fiq dan Fiq membalasnya. Selama Nurul jadi pengurus, dia dengan Fiq sentiasa bersama walaupun bukan berbincang tentang hal peribadi. Tapi, itu pun sudah boleh dikatakan sebagai satu peningkatan yang baik.

"Kenapa?"

Pertanyaan Zul menarik perhatian mereka semua. Semua tertumpu pada Hayrul yang kaku di hadapan lokarnya yang terbuka luas. Masing-masing pelik.

"Err…" Suara Hayrul seakan tersekat. Matanya memandang sekeping sampul surat warna biru yang tiba-tiba terdapat di dalam lokarnya.

Sekejap saja mereka semua berkerumun di hadapan lokar Hayrul, melihat surat biru misteri itu.

"Surat cinta?" tanya Zaki seakan tidak percaya.

Serentak dengan itu Nurul berpaling apabila mendengar Zaki menyebut surat cinta. Setahunya, Hayrul langsung tidak menerima surat cinta dan dia juga pasti tiada surat cinta yang diletak di dalam lokar Hayrul.

"Surat cinta?" Nurul terus bergegas ke hadapan lokar Hayrul untuk memastikan sesuatu. Sekeping surat cinta berwarna biru dilihatnya.

Surat cinta daripada aku untuk Fiq… Nafas Nurul tersekat-sekat, seolah-olah tiada oksigen untuk bernafas. Kenapa ada kat dalam lokar Hayrul pula? jerit suara hatinya.

Di sudut tepi, Nazrul tersenyum sinis, membetulkan tali kasutnya. Sebiji bola sepak dalam lokar diambil keluar.

Rezza menjeling memandang Nazrul yang sedikit tersenyum. Kemudian dia menggeleng. Lebih baik jangan masuk campur. Tidak lama selepas itu keadaan yang kecoh tadi lagi bertambah kecoh apabila Hayrul pengsan dengan tiba-tiba. Nurul kelihatan tidak keruan. Sekejap memandang Hayrul yang pengsan dan sekejap memandang surat cintanya untuk Fiq dalam almari Hayrul.


"Hayrul alergi dengan surat cinta," terang Rezza kepada Nurul sambil memandang Hayrul yang masih belum sedarkan diri dan dikipas oleh kawan-kawannya yang lain. "Bila dia terima surat cinta, kesudahannya dia akan pengsan. Dan, sejak itu kami semua tak berani ambil surat cinta untuk Hayrul."

"Kenapa Hayrul akan pengsan kalau dapat surat cinta?" tanya Zaki sambil menggaru dagu. "Mungkin dia pernah terima surat cinta beracun kut."

"Surat cinta beracun?"

"Lebih kurang nak kenakan dialah…"

"Oh…" Nurul mengangguk faham.

"Agak-agak, siapa yang minat gila dengan Hayrul tu ya," ujar Najmi dengan seorang di belakangnya.

"Apa kata kalau kita baca. Hayrul bukannya tahu. Lagipun aku gerenti dia takkan baca surat cinta ni. Bukan ke lebih baik kita guna peluang yang ada ni untuk baca surat cinta daripada peminat misteri dia ni…" ujar Adnan Yazir memberi cadangan.

"Cantik!"

"Jangan!" Segera Nurul bertindak menolak mereka ke tepi dan pantas mengambil surat cinta tersebut. "Err… demi melindungi hak asasi manusia, aku terpaksa rampas surat cinta ni."

"Sejak bila hak asasi manusia melarang seseorang baca surat cinta?" tanya Najmi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Sejak aku jadi pengurus kelab," jawab Nurul tanpa berfikir panjang. "Jadi, memandangkan surat cinta ni telah membuat Hayrul jatuh pengsan, aku terpaksa membuang surat cinta ni. Pergi dulu dan jangan lambat untuk latihan petang ni!" Nurul terus melarikan diri secepat yang mungkin. Lagi lama dia duduk dalam bilik itu, lagi banyak soalan yang akan diterimanya. Lebih baik dia melarikan diri segera.

"Sejak bila Nurul ambil berat tentang Hayrul?" Sekali lagi Najmi menggaru kepalanya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Nurul. Takkanlah Nurul cemburu dengan Hayrul yang dapat surat cinta. Itu tidak mungkin. Tidak mungkin Nurul sudah jatuh cinta dengan Hayrul sebab kedua-duanya memang tidak boleh berjumpa. Jika berjumpa pasti ada sahaja yang tidak puas hati.

"Macam budak-budak," ujar Nazrul perlahan dan tanpa disedari dia tersenyum kecil. Seronok tidak terkata apabila dia melihat wajah Nurul yang cemas cuba mencari jalan keluar. Akhirnya berjaya juga.


"Serius?" tanya Sofea yang terkejut mendengar cerita daripada Nurul.

Nurul yang tiada mood sejak pulang dari sekolah tadi sekadar mengangguk. Dia sendiri kebuntuan bagaimana surat cintanya yang diletak di dalam lokar Fiq boleh 'berjalan' ke loker Hayrul. Itu pun dia bernasib baik sebab Hayrul ditakdirkan alergi dengan kehadiran surat cinta. Jika tidak, pasti dia sudah menjadi bahan ketawa mereka.

"Aku selalu malang bila dikaitkan dengan surat cinta." Nurul mengeluh lemah.

Dahulu dia dimalukan satu sekolah dengan tertampalnya surat cintanya di papan kenyataan dan dijadikan bahan ketawa oleh pelajar sekolahnya. Hari ini dia hampir mengulangi kejadian yang sama.

"Kau agak-agak siapa yang nak kenakan kau?" tanya Sofea.

"Aku tak tahu… Yang aku peliknya, macam mana orang tu boleh tahu aku tulis surat cinta untuk Fiq sedangkan aku dan kau saja tahu pasal surat tu." Nurul kemudiannya memandang Sofea di hadapannya.

"Kira tak normallah aku kalau kenakan kau macam tu," kata Sofea.

"Kenapa pula? Normallah kalau kau—sebagai salah seorang peminat Fiq cemburu dengan keberanian aku bagi surat cinta kepada Fiq." Dengan selamba Nurul berkata.

"Itu tak normal maknanya." Sofea masih lagi selamba. Langsung tidak rasa menggelabah apabila dituduh oleh Nurul.

"Kenapa pula tak normal?"

"Daripada aku letak surat cinta kau di lokar Hayrul, lebih baik aku tampal surat cinta kau macam pengalaman kau dulu tu."

Nurul memandang Sofea sambil berfikir.

"Ya. Memang betul." Akhirnya Nurul bersetuju. Lagipun dia kenal Sofea. Sofea tidak akan melakukan sesuatu yang licik begitu. "Kalau nak dikira, memang ramai yang dengki dengan aku, tapi orang yang buat ni bukan jenis nak dajalkan aku, tapi nak kenakan aku."

"Ada beza ke dua perkataan tu?" tanya Sofea.

"Izinkan aku jawab soalan kau tu dengan menghadiahkan satu tumbukan," balas Nurul menjeling tajam.

"Yalah, yalah… Jadi, kau nak siasat siapa yang berjaya kenakan kau tu?"

"Entah! Tapi, aku rasa orang yang buat ni mungkin orang yang aku kenal."

"Siapa?"

"Antara ahli bola sepak tulah. Mereka semua memang tak boleh tengok aku senang sikit. Mesti ada sahaja nak buli aku. Tengoklah nanti. Perkara ni akan terbukti juga dan jangan haraplah orang yang buat dajal ni boleh hidup senang!"

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Prince Charming dari Ratu Bulan, Terbitan Fajar Pakeer. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my